Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Alhamdulillah Umno dan PAS telah berjaya melakar sejarah baru yang akan memperkuatkan lagi politik orang Melayu dan umat Islam secara keseluruhannya melalui agenda penyatuan ummah.

Melalui "taawun siyasi" atau kerjasama politik yang termeterai secara rasminya Umno dan PAS telah membuka lembaran baru politik tanah air, kerjasama ini juga secara rasminya Umno dan PAS menamatkan persengketaan politik yang tercetus sejak puluhan tahun lalu.

Saya yakin dan percaya, penyatuan Umno-PAS memberi kelegaan kepada orang Melayu. Saya yakin percaya orang Melayu, umat Islam di setiap pelusuk negara cukup teruja dengan penyatuan ini.

Kerjasama Umno-PAS pastinya bukan saja memperkuatkan orang Melayu dan umat Islam, tetapi juga rakyat Malaysia berbilang kaum secara keseluruhannya

Meskipun pihak lawan mengkritik dan melabel penyatuan ummah dengan pelbagai gelaran negatif, namun rakyat lebih bijak menilai. Kejayaan himpunan ummah kali ini pastinya menjadi mimpi ngeri kepada pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng serta Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Umat Islam, orang Melayu dan rakyat Malaysia, pedulikan bisikan-bisikan "syaitan kecil" yang menghasut anda bagi menggagalkan usaha penyatuan ummah ini yang cukup besar maknanya kepada negara.

Usah takut dengan penyatuan ummah

Kepada bukan Islam, usah takut dengan penyatuan ummah ini, ia bukan agenda rasis apatah lagi ekstrem. Ini agenda untuk semua, bukan saja orang Melayu Islam, tetapi rakyat Malaysia berbilang kaum keseluruhannya.

Penyatuan ummah adalah agenda untuk membentuk kuasa politik rakyat bagi menetang PH yang ketika ini bukan saja gagal mengurus tadbir negara, tetapi lebih daripada itu sedang merosakkan negara yang dibina selama ini oleh BN yang mana kemakmurannya dapat kita nikmati bersama.

Ketika di bawah BN, ekonomi negara tetap makmur walaupun dalam situasai ekonomi dunia tidak menentu, isu perkauman terkawal, penghinaan terhadap agama dan institusi raja dicegah dengan berkesan, namun di era Malaysia baru ia membarah bagaikan tiada kawalan.

Oleh itu saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, tidak kira bangsa Melayu, Cina, India, Siam, Orang Asli, Kadazan, Iban dan siapa saja yang bergelar rakyat Malaysia, demi negara tercinta, ayuh turun ke PWTC, mari kita sama-sama menjayakan agenda rakyat bagi menyelamatkan negara tercinta daripada terus dirosakkan rejim Pakatan Harapan (PH).


MOHD HAIRI MAD SHAH ialah ketua pemuda Umno Johor.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS