Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam usaha menambah baik sistem berparlimen di Malaysia ke taraf dunia, Parlimen Malaysia telah menggunakan Recommended Benchmarks for Democratic Legislatures daripada Commonwealth Parliamentary Association (CPA). Penanda aras peringkat global ini digunakan secara meluas untuk menilai prestasi semasa aarlimen sesebuah negara daripada pelbagai sudut.

Salah satu aspek penting dalam penanda aras ini ialah perkara 11.1.1 yang menekankan ahli legislatif perlu mengekalkan tahap yang tinggi terhadap tanggungjawabnya dengan mematuhi kod tata laku (code of conduct) yang ditetapkan.

Secara praktikal, prestasi kehadiran ahli parlimen dapat dijadikan sebagai kayu pengukur terhadap integriti, tanggungjawab dan keseriusan mereka terhadap tugas sebagai wakil kepada rakyat. Amat tidak wajar sekali jika ahli parlimen hanya memenuhi kerusi mereka untuk isu-isu yang besar sahaja seperti pengumuman bajet dan pindaan perlembagaan.

Pertama, perkara 2.1.3 penanda aras CPA menyatakan bahawa peraturan, prosedur dan praktis di dalam parlimen mestilah sentiasa disemak untuk meningkatkan keberkesanan dan kerelevanan badan legislatif. Dalam perkara ini, Parlimen Malaysia mestilah menyemak dan mengemas kini Peraturan Mesyuarat melalui proses perundangan dari semasa ke semasa untuk memastikan peraturan tersebut relevan dengan konteks semasa.

Misalnya, perkara Perkara 13 yang menyatakan jumlah minimum ahli Majlis Mesyuarat ialah 26 orang (11.7%) sahaja tidak lagi sesuai, realistik dan pragmatik kerana jumlah tersebut terlalu kecil daripada keseluruhan 222 orang Ahli Parlimen. Dalam setiap mesyuarat, perdebatan yang mendalam, analitikal dan sudut pandang daripada pelbagai sudut sangat diperlukan dalam memastikan proses pembuatan keputusan yang efektif dan efisien. Untuk merealisasikannya, jumlah minimum tersebut perlu ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya 30 hingga 50% kehadiran Ahli Parlimen pada setiap mesyuarat.

Kedua, penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas sementara untuk menilai, mengkaji dan mencadangkan penambahbaikan terhadap kehadiran ahli parlimen sewaktu persidangan. Jawatankuasa pilihan ini berhak memanggil ahli-ahli parlimen dengan prestasi kehadiran yang buruk termasuk menteri dan timbalan menteri.

Ahli-ahli mesyuarat yang dipanggil mestilah mengemukakan keterangan dan alasan ketidakhadiran yang munasabah secara lisan ataupun bertulis kepada jawatankuasa untuk dipertimbangkan. Jawatankuasa pilihan ini juga berperanan untuk mendengar pandangan dan cadangan daripada pakar-pakar serta orang awam untuk dimasukkan ke dalam penyata yang akan diusul dan dibahaskan oleh ahli Majlis Mesyuarat.

Ketiga, kehadiran ahli parlimen dalam setiap mesyuarat wajar diterbitkan secara online di portal Parlimen Malaysia untuk tatapan umum. Dalam era Malaysia Baharu yang lebih telus dan terbuka, rakyat yang memilih ahli parlimen seharusnya diberikan hak untuk mengetahui prestasi kehadiran wakil mereka di dalam Parlimen. Sebagaimana ibu bapa mempunyai akses untuk melihat prestasi anak mereka melalui SAPS, saya fikir sistem yang serupa perlu diperkenalkan juga kepada ahli parlimen. Saranan ini juga selaras dengan slogan Parlimen Malaysia bersempena ulang tahun ke-60 penubuhannya iaitu 60 Tahun Merakyatkan Parlimen.

Namun begitu, cadangan-cadangan ini memerlukan suara majoriti dan kesatuan ahli parlimen untuk menyokongnya daripada barisan kerajaan mahupun pembangkang. Jika ahli parlimen bersifat endah tak endah dan ego untuk kepentingan diri mereka sendiri, sudahnya ia hanya seperti mencurahkan air ke daun keladi kerana tidak mendapat sokongan seperti keengganan blok pembangkang untuk mematuhi peraturan perisytiharan harta.

Konklusinya, ahli parlimen yang diundi oleh rakyat seharusnya mengambil sikap yang serius terhadap tanggungjawab dan integriti mereka bukan sahaja untuk kepentingan kawasan tetapi juga kepentingan negara dan rakyat Malaysia secara keseluruhan. 

Rakyat memilih, rakyat menilai.


MOHAMAD IKA DANIAL ‘ABDULLAH merupakan mahasiswa tahun akhir ijazah Sarjana Muda Sains Politik dan Presiden Persatuan Mahasiswa Kulliyyah Ilmu Wahyu Islam & Sains Kemanusiaan (IRKHSSS) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kini, menjalani latihan sebagai pelatih penyelidik di Bahagian Penyelidikan, Parlimen Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS