Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
Replika al-Quran tepat dijadikan mercu tanda UIAM - PKPIM

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengikuti rapat perkembangan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkaitan pergantian mercu tanda UIAM; daripada replika keris kepada replika alQuran.

PKPIM mengambil maklum penjelasan Presiden UIAM, Dr Daud Bakar, berkenaan simbolik replika al-Quran sebagai mercu tanda yang menggambarkan semangat keseluruhan penubuhan UIAM. 

Tambahan pula, kos kerja-kerja pengubahsuaian itu ditanggung sepenuhnya oleh dana penajaan luar dan tidak menggunakan sebarang belanja dari perbendaharaan universiti.

Oleh itu, memahami konteks UIAM sebagai sebuah universiti Islam bertaraf antarabangsa, PKPIM berpendirian adalah tepat replika kitab suci Al Quran dijadikan mercu tanda.

Ia melambangkan ketinggian ilmu dan budi berteraskan wahyu ilahi dan sekaligus mengembalikan syiar mercu tanda awal UIAM yang dilandasi falsafah yang kukuh berteraskan semangat 'iqra'.

Lebih tepat lagi adalah atas dasar keperluan mendukung falsafah UIAM sebagai institusi intelektual ulung dunia Islam sebagaimana dirumuskan dalam Persidangan Pendidikan Islam Pertama pada 1977.

Dalam pada itu, PKPIM juga menegaskan pendirian untuk tidak bersikap apolegetik dalam membicarakan tentang semangat dan perjuangan memartabatkan budaya warisan Melayu. 


BACA BERKAITANRais kecewa tugu keris di pintu masuk UIA dipindah


Tinggal lagi, simbol dan semangat itu haruslah diletakkan di tempat yang selayaknya. Iaitulah Melayu yang berdikari, jujur, kuat kerja dan berbudi bahasa.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM mengambil maklum usaha yang telah, dan sedang dijalankan pengurusan UIAM dalam menambah baik kondisi fasiliti dan hal ehwal kebajikan mahasiswa UIAM.

Justeru, PKPIM mengharapkan usaha-usaha berkenaan segera dilaksanakan dengan lebih efisyen.

PKPIM menyeru semua pihak untuk tidak mempolemikkan isu ini. Sebaliknya fokus kepada agenda utama universiti; membina insan dan tamadun, memperhalus akhlak dan budi.

PKPIM menyatakan komitmen kami untuk bersama seluruh komuniti UIAM memaknai dan mengukuhkan kembali falsafah universiti Islam bukan semata pada simbolnya tapi juga pada rohnya sebagaimana dicita-citakan oleh para intelektual Islam seluruh dunia.


AHMAD FARHAN ROSLI ialah Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS