Malaysiakini Surat

Abim gesa masyarakat antarabangsa contohi keberanian Gambia

Muhammad Faisal Abdul Aziz

Diterbitkan

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyatakan sokongan kepada tuntutan undang-undang yang difailkan Gambia di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ), berhubung siri pembunuhan beramai-ramai dan penghapusan etnik secara keseluruhannya ke atas etnik Rohingya oleh tentera pemerintah Myanmar tanpa batasan hak asasi manusia.

Menurut laporan, Menteri Kehakiman, Abubacarr Tambadou berkata, negara terbabit bertindak bagi pihak 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengheret Yangon ke mahkamah antarabangsa tersebut di The Hague.

Abim menegaskan bahawa tindakan ini penting bagi memberi tekanan kepada Myanmar, memandangkan hanya negara (bukan individu) yang boleh memfailkan kes ke atas sebuah negara lain di ICJ.

Selain itu, Gambia serta Myanmar adalah penandatangan Konvensyen Genosid 1948 yang menetapkan mereka perlu menghalang dan menghukum jenayah pembunuhan beramai-ramai.

Justeru, Abim menggesa PBB dan organisasi antarabangsa yang mewakili masyarakat dunia untuk memberi anugerah khas membela kemanusiaan buat Gambia atas keberanian kerajaan tersebut mengambil tindakan undang-undang membela etnik Rohingya.

Selain itu, Abim berpandangan tindakan ini seharusnya menjadi "wake up call" buat negara-negara seluruh dunia untuk bertindak menentang tindakan tidak perikemanusiaan Myanmar ini menerusi seluruh saluran antarabangsa yang ada.

Dalam pada itu, Abim turut mengulangi gesaan untuk mendesak kerajaan Malaysia dan seluruh negara Aseam bertegas menilai semula keanggotaan Myanmar dalam Asean kerana tindakan kejam kerajaan Myanmar amat bercanggah dengan prinsip dan budaya negara serantau yang berasaskan nilai-nilai murni keamanan sejagat.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ ialah presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.