Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Pertembungan naratif: Kerajaan pintu belakang lwn kerajaan perpaduan

Isu yang kini berlegar-legar dan hangat diperkatakan yakni "kerajaan pintu belakang" (KPB) sebenarnya bermula dengan soal peralihan jawatan perdana menteri daripada Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim.

Usaha ke arah ini berlaku apabila ada kelompok yang mempercayai Anwar berpotensi tinggi dilantik sebagai perdana menteri kelapan (PM8) jika tiada sebarang situasi luar biasa berlaku.

Jadi usaha KPB berlaku dilihat sebagai taktik untuk mengekang kemaraan Anwar sebagai PM seterusnya.

Kumpulan A yang tidak bersetuju dengan langkah tersebut telah mencipta naratif terhadap langkah ini sebagai kerajaan pintu belakang, untuk memberi naratif yang buruk kepada kumpulan B.

Pada kumpulan B pula, usaha ini bukanlah sebuah KPB akan tetapi usaha untuk mewujudkan kerajaan perpaduan kerana turut melibatkan penglibatan parti-parti lain kecuali DAP.

Jadi, naratif mana yang benar atau salah, sama ada anda memilih 'kerajaan pintu belakang' atau 'kerajaan perpaduan', terpulang. Mereka yang menang adalah mereka yang mampu mengangkat naratif sendiri dengan lebih luas dan diterima sebahagian besar rakyat dan ahli parti.

Mengapa mereka (pro pada naratif kerajaan perpaduan) ini begitu tidak mahukan Anwar sebagai perdana menteri? Mari kita cuba kongsikan andaian-andaian seperti di bawah:

a. Anwar dikatakan dituduh dan tidak mampu memelihara kedudukan Melayu-Islam kerana beliau yang dianggap liberal dan dilihat memiliki hubungan intim dengan DAP, tidak seperti yang lain.

b. Mereka yang percaya dengan imej Anwar susulan kes liwat di mahkamah sebelum ini akan mengancam status quo norma setempat.

c. Tuduhan Agihan ekonomi kepada bumiputera akan menjadi tidak adil.

d. Beliau dituduh akan menyingkirkan barisan menteri kabinet terutama daripada Bersatu dan kem Azmin.

Jikalau diimbas, ada sebahagian sebab antara a hingga d ini turut dikongsi oleh Umno yang pro naratif KPB. Tetapi mereka percaya Anwar tidak akan boleh dilantik sebagai PM.

Sebabnya Mahathir tidak akan turun jawatan dan beri laluan kepada Anwar. Jika Anwar usul undi tidak percaya dan Mahathir berjaya digugurkan, Anwar juga tidak akan peroleh majoriti untuk jadi PM dan pilih menteri kabinet baharu.

Sudah tentu Bersatu tidak setuju dengan Anwar. Dan sudah tentu blok pembangkang tidak akan terima Anwar. Jadi parlimen boleh dibubarkan.

Bagi kumpulan PKR (yang pro naratif KPB) pula, sudah tentu perjuangan mereka selama ini adalah untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri kerana percaya reformasi yang mampu dibawanya. Tiada kompromi terhadap sebarang langkah untuk menyekat usaha ke arah itu.

Tetapi adakah Umno pro naratif KPB ini tidak faham dengan idea Umno pro naratif kerajaan perpaduan? Sebenarnya mereka faham, cuma kalau kem ini yang naik, maka mereka akan ketinggalan dan tidak akan memperoleh kuasa semula pada PRU 15.

Akhirnya, kita boleh faham para elit yang menentang kerajaan perpaduan (UG)/ KPB ini sebenarnya risau mereka tiada dalam kabinet seterusnya.

Di manakah PAS? Mereka bijak kerana baik dari KPB atau UG ini, PAS akan mendapat tempat dalam kabinet tersebut. Malahan, sepanjang tahaluf atau taawun mereka dari dahulu hingga kini, tidak pernah mereka berebut jawatan perdana menteri. Janji agenda Islam boleh dibawa bersama.

Justeru, kalau Umno, PAS dan PKR boleh bersama, itu adalah penyatuan semula keluarga besar Melayu yang telah lama bersengketa. Kerana mereka semua dahulunya daripada Umno juga.

Ayuh raikan demokrasi kita.


ANIS SINA adalah penyelidik di firma O2 Malaysia yang suka merupakan pusat penglibatan sosial yang mempromosi perbincangan dan wacana umum serta berpusat di Kuala Lumpur, Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS