Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya menulis untuk menjawab satu kenyataan Datuk Shahrir Samad beberapa hari lalu yang saya anggap melucukan. Kata beliau, "Dr Mahathir tidak perlu campur tangan dengan projek dan perancangan kerajaan, sebaliknya beliau harus bersyukur kerana program Wawasan 2020 diteruskan."

Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan rugi apa apa jika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) memansuhkan Wawasan 2020 pun. Dr Mahathir dan anak-anak beliau tidak akan mendapat sebarang keuntungan dari wawasan tersebut.

Mengenali Dr Mahathir, saya berani bertaruh apalah erti nama dan kebanggaan kepada beliau.

Beliau tidak pula menjenamakan semula projek Allahyarham Tun Razak seperti Dasar Ekonomi Baru apabila memegang jawatan. Betulkan jika saya salah, saya juga tidak ingat adanya sambutan yang begitu meriah merayakan100 hari pemeritahan beliau.

Beliau juga tidak menamakan sebarang projek sempena namanya mahupun keluarganya. Justeru Dr Mahathir tidak mementingkan nama dan legasi beliau. Apa yang lebih penting ialah masa depan negara ini.

Sebagai orang yang bertanggungjawab memimpin satu pasukan kerajaan yang dinamik dan berdaya saing selama 22 tahun, melihat segala usahanya sedang menuju kemusnahan, tentulah merisaukan beliau.

Yang sepatutnya lebih bersyukur ialah rakan baik Shahrir, yakni Perdana Menteri Malaysia, sekarang. Jika Dr Mahathir tidak melantik Pak Lah menjadi Timbalan Perdana Menteri, jika Majlis Tertinggi Umno tidak menyokong pemilihan ini dan jika Datuk Seri Najib Razak menentang keras perlantikan Pak Lah, apakah Pak lah akan menjadi Perdana Menteri hari ini?

Saya berani berkata, jika yang dipilih menjadi Timbalan Perdana Menteri oleh Dr Mahathir tempoh hari ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, maka Muhyiddin juga akan dibaiah dan ditabalkan sebagai Timbalan Presiden Umno dan sekaligus akan mewarisi jawatan Perdana Menteri.

Memang benar pemilihan Pak Lah telah dipersetujui rakyat dalam pilihanraya 2004 yang lalu. Namun, apakah jika Muhyiddin atau Najib yang menjadi Perdana Menteri mereka tidak akan menang?

Mereka juga akan menang. Ini kerana Dr Mahathir telah meninggalkan sebuah negara yang begitu makmur bidang ekonominya.

Jika majoriti rakyat miskin, susah dan merempat, taburkanlah sejuta poster Pak Lah membaca doa pun takkan menang Barisan Nasional. Hakikatnya, kemenangan Pak Lah dalam pilihan raya umum lalu adalah kerana rekod pentadbiran Barisan Nasional. Pak Lah hanya mewarisinya. Satu lagi hakikat ialah setiap Perdana Menteri Malaysia akan menang besar dalam pilihan raya pertamanya. Sejarah tidak pernah menipu.

Justeru yang perlu bersyukur dan berterima kasih ialah Pak Lah. Pak Lah mewarisi dari Dr Mahathir satu pasukan dalam parti dan kerajaan yang cekap dan setia sehinggalah kesetiaan tersebut dihancurkan oleh segolongan oportunis yang mengelilingi beliau.

ADS