Saya terpanggil untuk menulis mengenai perkara ini kerana sering mengalaminya sendiri. Berurusan dengan jabatan kerajaan adalah suatu yang amat sukar dan menyakitkan hati.

Sama ada kita pergi berjumpa sendiri atau berhubung melalui telefon, selalunya layanan yang diberikan ialah; "Maaf encik, tuan anu keluar sekejap atau pergi kursus atau sakit atau cuti atau pergi mahkamah atau pergi minum...". "Encik datanglah lain kali atau telefon balik...."

Senario ini berbeza sekali di pihak swasta di mana kakitangannya akan cuba memberi khidmat terbaik seperti mencatat nombor telefon dan nama pengunjung atau pemanggil untuk mengembalikan panggilan.

Adakah kakitangan atau pegawai di jabatan kerajaan ini "indispensable" hingga pekerja lain tidak boleh melayan pelanggan?

Kalau berurusan dengan pejabat kerajaan tempatan pula, layanannya lebih buruk; " Saya mahu datang inspection berkenaan kerja tanah atau OC yang tuan pohon, tolong hantar kereta ambil saya".

Kerana bimbangkan ketidaklulusan, kontraktor pun hantar kereta, sedangkan mereka sepatutnya datang sendiri.

Karenah ini hanya ibarat setitik air di lautan. Bilakah perkhidmatan awam mahu berubah?