Langkah serah balik nombor WPA 1 bijak
Mungkin dalam ramai-ramai orang politik Malaysia yang mengaku sebagai 'orang Pak Lah' (orang Perdana Menteri), Zulhasnan Rafique adalah satu-satunya orang politik yang cukup bijak bertindak apabila timbul kontroversi.
Keputusannya menyerah balik nombor pendaftaran kenderaan WPA 1 kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebenarnya menyelamat dua pihak. Pertama, menyelamatkan politiknya dan kedua, menyelamatkan perdana menteri dari serangan dan cacian kawan dan lawan dalam politik.
Kerusi menteri Wilayah Persekutuan sebenarnya kerusi 'panas'. Namun, Zulhasnan yang baru sahaja dilantik ke jawatan dengan pantas 'menyejukkannya'. Zulhasnan buat keputusan 'bijak' sekaligus membuktikan nombor plat kereta bukan segala-galanya bagi pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan ini.
Beliau boleh sahaja terus menggunakan nombor itu, jika beliau mahu kerana Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan sudah mengumumkan bahawa nombor itu dianugerahkan kepadanya, selaras dengan keputusan cabinet yang mengatakan menteri-menteri layak mendapat satu nombor pilihannya untuk kegunaan kereta rasmi.
Namun, Zulhasnan lebih mengutamakan 'pengorbanan' daripada melayan pelbagai desakan dari pembangkang dan penulis-penulis yang mendakwa beliau 'menghalangkan' hasil negara dengan menerima anugerah nombor itu. Mungkin perkara ini akan dilupakan dalam sehari dua ini, tetapi jika Zulhasnan tidak bertindak demikian, dipercayai isu ini akan menghiasai dada media massa seminggu dua.
Kalau semua orang Pak Lah seperti Zulhasnan, Pak Lah tidak mungkin dikritik begitu hebat. Malangnya, mereka yang dituduh rapat dengan Pak Lah, keterlaluan melakukan tindak-tanduk sehingga ada yang menuduh Malaysia diperintah oleh budak berumur 29 tahun.
Citra Pak Lah sebagai perdana menteri sebenarnya sedikit sebanyak tercalar akibat dari tindak- tanduk orang-orang hingga ada yang mendakwa Pak Lah dikawal oleh orang-orang tertentu, termasuk 3K. Sebagai orang baru diberikan jawatan, Zulhasnan perlu lebih berhati-hati dan tidak terjebak dengan isu-isu yang tidak menguntungkannya. Malahan, langkah Zulhasnan ini perlu dicontohi oleh sesiapa sahaja, bagi mengelak kontroversi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.