Paling Popular
Terkini

Bulan Ogos setiap tahun merupakan bulan sambutan kemerdekaan atau bulan kebangsaan buat negara kita.

Tahun ini, tema “Malaysia Prihatin” telah dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Logo tahun ini pula adalah berbentuk hati dengan warna Jalur Gemilang yang melambangkan keprihatinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap rakyat Malaysia yang berbilang kaum dalam menghadapi pelbagai dugaan ketika ini.

Tema “Malaysia Prihatin” membawa pengertian bahawa seluruh rakyat Malaysia berganding bahu memerangi pandemik Covid-19, tanpa mengira ideologi politik dan meliputi segenap lapisan masyarakat, sama ada pihak kerajaan, pihak pembangkang, penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan mahupun orang perseorangan.

“Malaysia Prihatin” juga membawa pengertian keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kebajikan rakyat Malaysia melalui inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan serta kelangsungan hidup rakyat.

Semangat “Malaysia Prihatin” perlu disemarakkan dalam segenap kehidupan rakyat Malaysia.

Ia perlu disematkan dalam ingatan untuk rakyat negara ini mengukuhkan kembali asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Di samping itu, semangat “Malaysia Prihatin” mampu menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan negara.

Mengingati sejarah negara kita, rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 telah mendorong kerajaan pada waktu itu, iaitu kerajaan Perikatan untuk menyatukan semula rakyat berbilang kaum di negara ini.

Kini, kerajaan PN pula bertanggungjawab untuk mengembalikan kegemilangan semangat patriotisme dan perpaduan.

Sejarah kemerdekaan

Menyingkap sejarah negara kita, kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan secara rasmi tepat jam 9.30 pagi pada 31 Ogos 1957.

Upacara pemasyhuran kemerdekaan berlangsung di Stadium Merdeka dengan disaksikan lebih 20,000 orang termasuklah raja-raja Melayu, tetamu-tetamu khas dari luar negara, anggota-anggota kabinet kerajaan Persekutuan dan rakyat jelata.

Pada upacara bersejarah ini, pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dibacakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra.

Selesai pengisytiharan dibaca, Tunku Abdul Rahman Putra melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali dan disambut oleh ribuan rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka.

Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) ditubuhkan dengan mengambil aspirasi Bapa Malaysia atau bapa kemerdekaan, almarhum Tunku Abdul Rahman dan mengambil semangat kemerdekaan 1957.

Rakyat pada hari ini perlu menyingkap kembali setiap detik dan peristiwa sejarah kemerdekaan negara kita.

Upacara hari kemerdekaan ketika itu disusuli dengan seruan azan yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara yang baru merdeka, diikuti dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi dengan lagu kebangsaan, Negaraku.

Sebanyak seratus satu das tembakan meriam dilepaskan menandakan Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Eratkan Semangat Perpaduan

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mengeratkan perpaduan dan elakkan perpecahan kerana itu merupakan kunci untuk menentukan masa depan negara kita.

Perpaduan juga boleh menjadi “bom jangka” jika tidak ditangani dengan betul.

Kemerdekaan telah menjadikan bangsa kita, sebuah bangsa berdaulat, tanpa mengira bangsa Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak, Dusun atau apa-apa bangsa dan suku di negara kita.

Rakyat juga bebas menyusun hala tuju negara kita sendiri, bebas mengamalkan agama, budaya, ekonomi, politik dan pelbagai lagi dengan mengikut lunas di dalam Perlembagaan Persekutuan.

DPIM turut menyingkap tahun 1969 ketika peristiwa 13 Mei yang telah melemahkan perpaduan antara kaum di Malaysia.

Ketika itu, perpaduan antara kaum berada pada tahap paling teruk apabila pertelagahan antara kaum menyebabkan kematian, kecederaan dan kacau-bilau.

Bulan kemerdekaan perlu dihayati untuk mengeratkan perpaduan antara kaum.

Nenek moyang kita bersatu hati untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu pada ketika itu.

DPIM menyarankan rakyat Malaysia agar berpandukan kepada Rukun Negara dalam mengeratkan perpaduan.

Rukun Negara dilancarkan untuk membentuk perpaduan yang kukuh, menjadikan Rukun Negara itu sendiri sebagai nadi perpaduan negara.

Sehubungan itu, prinsip-prinsip di dalam Rukun Negara jelas merupakan nadi kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi memastikan kesejahteraan dan keamanan di Malaysia.

Bersamalah kita mengeratkan perpaduan dan elakkan perpecahan. Semoga kita semua tidak lalai dan alpa dengan dendangan lagu dusta yang sering didendangkan untuk meranapkan perpaduan di negara kita.

Fahaman liberal yang lebih mementingkan diri sendiri perlu dijauhkan.

Fahaman dan ideologi tersebut menyebabkan rakyat menyimpang daripada landasan perpaduan negara yang mementingkan kesejahteraan keseluruhan rakyat.

Isu sensitif seperti kontrak sosial, bahasa kebangsaan, agama Islam sebagai agama rasmi, kedaulatan raja-raja Melayu, tidak wajar dipersoalkan.

Pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu yang bermatian bagi memerdekakan bumi bertuah Tanah Melayu ini haruslah dihargai dan diingati.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-63.

Malaysia Prihatin!


SHAHIR ADNAN ialah ketua Pemuda DPIM, Parti Ikatan Bangsa Malaysia merangkap Naib pengerusi Ikatan Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.  

Lihat Komen
ADS