Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Elak gantung parlimen, lebih baik adakan kerajaan perpaduan

Semua parti politik boleh memberi pertimbangan untuk membentuk kerajaan perpaduan bagi menghentikan drama politik, serta menumpukan terhadap usaha membendung Covid-19.

Semenjak pertukaran kerajaan persekutuan berlaku pada Februari lalu, negara kita dilihat berada dalam suasana politik tidak menentu.

Suasana politik ini hadir ketika seluruh dunia termasuk Malaysia sedang bergelut menghadapi masalah penularan Covid-19.

Walaupun penularan virus Covid-19 ini dilihat terkawal beberapa bulan lalu, namun kebelakangan ini terdapat peningkatan mendadak jumlah jangkitan.

Bagi membendung penularan virus Covid-19, suasana politik perlu stabil terlebih dahulu bagi memudahkan tumpuan terhadap usaha membendung Covid-19.

Banyak cadangan dikemukakan, ini termasuklah mengadakan pilihan raya atau menggantung parlimen.

Cadangan untuk mengadakan pilihan raya dilihat tidak sesuai kerana ia dibimbangi meningkatkan lagi jumlah jangkitan Covid-19.

Cadangan menggantung parlimen juga dilihat tidak sesuai kerana dibimbangi menggugat proses demokrasi.

Sistem demokrasi berparlimen yang didukung negara kita semenjak merdeka perlu dipertahankan pada setiap masa.

Malaysia perlukan pasukan kerajaan dan pembangkang yang bersikap profesional serta berkhidmat kepada rakyat bagi menghentikan penularan Covid-19.

Selain cadangan untuk membubarkan parlimen atau menggantung parlimen dibuat, semua pihak khususnya di kalangan parti, boleh juga memberi pertimbangan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan.

Kerajaan perpaduan ialah sebuah kerajaan yang dianggotai oleh semua parti politik yang ada di dalam sesebuah negara.

Dalam kerajaan perpaduan, semua parti politik akan mengetepikan perbezaan politik serta sanggup bergabung bawah satu bentuk kerajaan tunggal.

Kewujudan kerajaan perpaduan dilakukan atas pelbagai faktor seperti ketika negara sedang mengalami situasi kecemasan ataupun darurat, ketika negara diserang musuh, ketika negara sedang mengalami bencana alam luar biasa, ketika tidak wujud kerajaan buat tempoh yang lama.

Tiada tempoh waktu ditetapkan untuk kewujudan kerajaan perpaduan ini. Semuanya terpulang pada setiap ahli politik serta parti politik yang terlibat.

Terdapat beberapa negara dunia yang sudah mewujudkan kerajaan perpaduan, seperti Afghanistan, Kanada, Croatia, Estonia, Greek, Hungary, Itali, Kenya, Lebanon, Luxembourg, Namibia, Nepal, Palestin, Afrika Selatan, Sudan Selatan, Sri Lanka, dan Zimbabwe.

Malah beberapa buah negara maju di Barat juga pernah mewujudkan kerajaan perpaduan seperti United Kingdom ketika berdepan perang Napolean (1803 – 1815) dan Perang Dunia Pertama (1914 – 1918) serta Amerika Syarikat ketika menghadapi Perang Saudara (1861 – 1865).

Ini jelas menunjukkan tiada yang pelik mengenai cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan ini.

Namun perkara pokok yang harus ditanya kini, apakah kebaikan melalui penubuhan kerajaan perpaduan?

Terdapat beberapa kebaikan terhadap penubuhan kerajaan perpaduan. Antaranya mewujudkan persekitaran politik lebih stabil kerana semua parti tidak lagi sibuk berpolitik untuk menubuhkan kerajaan sendiri.

Melalui kerajaan perpaduan, sesuatu dasar dapat diperkenal dengan lebih mudah serta cepat dirasai semua pihak khususnya rakyat jelata.

Kerajaan perpaduan juga dapat melahirkan kegerunan kepada musuh khususnya musuh luar yang cuba menganggu-gugat keamanan negara.

Dengan tiadanya pihak lawan, musuh luar tidak dapat mempergunakan mana-mana pihak untuk mengugat proses pemerintah negara.

Walaupun cadangan ini dilihat mungkin sukar dilaksanakan kerana ego tinggi ahli politik, namun berbanding dengan cadangan lain, ia sesuai dipertimbangan.

Apa jua cadangan bagi menyelesaikan kemelut pada masa kini tidak seharusnya mengorbankan prinsip dan amalan demokrasi.


DR MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS