Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | Abim hulur sumbangan kepada 1,000 keluarga di Sabah

Dari 17 Oktober sehingga 30 Oktober 2020, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) cawangan Sabah (Abim Sabah) mengagihkan sumbangan dengan nilai sebanyak hampir RM80,000 menerusi Bantuan Makanan Asas Covid-19 Siri 2.0, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri tersebut.

Setakat ini, pasukan sukarelawan Abim Sabah digerakkan ke tujuh lokasi - Kota Kinabalu, Putatan, Ranau, Tuaran, Putatan, Tawau, dan Beluran. Jumlah ini merangkumi bantuan kepada sebanyak 1,000 buah keluarga yang terdiri daripada kalangan asnaf dan fakir miskin di Sabah.

Bantuan turut disampaikan kepada hampir 200 orang bantuan kepada petugas barisan hadapan yang terlibat dengan Covid-19 khususnya anggota keselamatan di Ranau, Sandakan dan Kota Kinabalu.

Abim Sabah mengagihkan sumbangan berkenaan dengan kerjasama beberapa buah badan masyarakat madani (CSO), termasuklah Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Majlis Belia Sabah.

Sumbangan berkenaan adalah bagi membantu meringankan rakyat negeri itu yang terkesan dengan Covid-19, khususnya yang terjejas pendapatan akibat pandemik tersebut.

Penerima sumbangan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuklah dalam kalangan warga emas, ibu tunggal, pekerja harian tidak bergaji dan bukan warganegara.

Keutamaan pemberian bantuan ini akan diberi kepada keluarga yang langsung tidak menerima apa-apa bantuan daripada pihak kerajaan atau mana-mana CSO sepanjang PKP.

Antara kandungan sumbangan kepada keluarga yang terjejas adalah berupa pek makanan asas iaitu beras, minyak, gula, tepung, telur dan keperluan lampin bayi serta susu bayi.

Adalah sangat meruntun hati kami melihat kepayahan yang dialami oleh golongan yang terputus bekalan asas, apabila ada yang mengatakan tiada duit untuk membayar sewa rumah, membeli barang harian dan susah mendapatkan bekalan makanan. Malah, ada yang terpaksa memberi bayi mereka minum air gula atau yang dicampur susu pekat.

Abim Sabah akan berusaha sedaya-upaya kami untuk menyalurkan sumbangan yang diberikan oleh individu, CSO, syarikat dan korporat secepat dan sebaik mungkin kepada penerima yang memerlukan.

Pihak Abim Sabah juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan penghargaan kepada semua penyumbang budiman, yang sentiasa menyokong projek misi bantuan kemanusiaan yang kami gerakkan.

Umat Islam di negeri ini juga dianjurkan agar terus mendoakan agar negeri dan negara ini bebas daripada wabak Covid-19.

Abim Sabah memohon kepada institusi perbankan, syarikat-syarikat swasta atau mana-mana individu untuk tampil menghulurkan sumbangan melalui Abim.


MOHD NUR HILMIE MILUS ialah yang dipertua Abim Sabah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS