Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | Saat ini, titah Agong perlu dijadikan sandaran

Kembali sejenak fikiran kita terhadap titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada semua ahli Dewan Rakyat agar meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021. Yang pastinya, titah Agong itu bukanlah berbaur ajakan sokongan politik, sebaliknya ia manifestasi yang lebih besar dan tuntas.

Ruang skop pemikiran dan keprihatinan Agong sudah tentu tidak jumud dan sekadar memandang elemen politik kepartian namun selaku ketua negara, baginda menginginkan sebuah budaya atau amalan baharu pelaksanaan politik matang di setiap diri mereka bergelar yang berhormat.

Suka atau tidak, Umno sudah umumkan gencatan politik beberapa hari sebelum titah Agong disiarkan kepada umum. Demi rakyat, Umno mengundur setapak dengan tidak menuntut beberapa kehendak dan telah mengambil keputusan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Maaf cakap, sepatutnya lain-lain parti politik yang ada turut perlu melakukan gencatan politik sebegini. PAS, PKR, Bersatu, MCA, MIC, PRS, GPS, Warisan, masing-masing mempunyai pemimpin yang menghormati Agong melebihi yang lain, justeru patut untuk mereka mengambil langkah membuat gencatan politik. Janganlah bersaing sesama sendiri dan diam-diam memancing Yang Berhormat untuk kumpul jumlah kerusi.

Namun dalam soal ini, memang kita tak mengharapkan apa-apa daripada DAP dan Amanah. Dua parti politik ini mungkin boleh kita sekadar lihat dan abaikan sahaja. Ada tidak menambah, tiada tidak berkurang.

Jika benar ikhlas gencatan politik Umno ini, kenapa masih ada ‘serangan-serangan anak’ terhadap kerajaan PN? Umno telah tunjuk kematangan berpolitik sebenarnya. Serangan, kritikan dan cadangan yang dilontarkan pihak Umno terhadap Belanjawan 2021 adalah sebagai nilai tambah dan pemurnian terhadap idea-idea kerajaan.

Cara memandang kita harus diubah agar lebih positif. Ia bukan suatu bentuk tekanan kepada kerajaan agar jentera kerajaan makin sukar bekerja, tetapi ia petanda sebuah kematangan ahli-ahli politik yang ada. Kebebasan bersuara dimanfaatkan untuk rakyat. Kritikan membina tidak sama dengan menghentam. Sesuai dengan aspirasi ‘Suara Umno suara rakyat’.

Sedar tak kita bahawa cabaran ini akan berkekalan panjang. Ia kesan daripada Covid-19 terhadap ekonomi negara, ekonomi mikro, ekonomi keluarga dan kebanyakan individu tertentu. Tidak siapa boleh nafikan, pengangguran kian bertambah di sekeliling kita. Peluang kerja baharu tak banyak setakat ini. Justeru, wajarlah pekerja asing digantikan dengan pekerja tempatan.

Pekerja tempatan pula janganlah memilih pekerjaan. Dalam saat pandemik ini, ambil sajalah apa yang ada terhidang di hadapan kita. Suatu ketika nanti, setelah semua kembali pulih, pasti kita akan dapat yang setaraf dengan kelayakan dan pengalaman masing-masing.

Sebab itu makin ramai yang telah bersedia berpeluh dan menyinsing lengan, asalkan upah yang diterima adalah munasabah.

Hakikatnya, ekonomi kita tidak boleh pulih sekelip mata. Sepanjang tahun 2021 kesan Covid-19 akan terus ada dan akan menyebabkan semua pihak terkesan. Sekarang pun semua pihak sudah dapat mengubah suai perniagaan, manakala ada yang sesetengah gulung tikar.

Dalam situasi penuh cabaran ini, ketua negara antara tempat untuk kita letakkan pelbagai harapan. Kita pernah meletakkan kebijaksanaan Agong ketika Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan perdana menteri kali kedua. Kita juga meletakkan banyak harapan kepada baginda sekarang ini, sesuailah amanah yang dipikul oleh para sultan dan raja-raja Melayu untuk menaungi tanah air dan rakyat jelata.

Sesungguhnya tanggungjawab yang digalas Yang di-Pertuan Agong adalah anugerah yang selaras ajaran Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.


IBN SAAD
Kg Baru, Kuala Lumpur

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS