Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Benar titah Yang di-Pertuan Agong supaya 220 anggota parlimen (Gerik dan Batu Sapi meninggal dunia) menyokong Belanjawan 2021 atas semangat cintakan negara, bagi mengelakkan negara terjerumus ke kancah tidak sihat, sekali gus mengundang masalah berpanjangan.

Lebih-lebih lagi dengan bilangan angka kes Covid-19 kian meningkat.

Namun hari ini bukan sahaja pembangkang mengkritik dan meminta dilaksanakan pindaan, malah ahli parlimen kerajaan sendiri mengesyorkan agar Belanjawan 2021 menuruti kehendak rakyat yang tertekan akibat kuasa beli berkurangan.

Terjah ke media sosial perdana menteri dan menteri kewangan, begitu ramai sekali rakyat merintih agar pengeluaran wang daripada akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta berharap tempoh moratorium dilanjutkan enam bulan bagi mereka yang layak (M40 dan B40)

Jelas sekali, rakyat sudah menunjukkan amarah kepada kerajaan yang masih belum dilegimitasi dalam parlimen.

Apatah lagi isi belanjawan sangat tidak masuk akal, antaranya mahu mewujudkan semula Jasa.

Ini dilihat sangat tidak adil buat barisan hadapan yang berkorban. Mereka hanya menerima elaun tambahan khas one-off RM500.

Agenda mewujudkan semula Jasa perlu dilupakan buat seketika kerana proses berhadapan Covid-19 memakan tempoh masa yang panjang.

Ia sekali gus memerlukan bantuan dana disalurkan kepada pihak yang tepat, iaitu anggota barisan hadapan, bukannya “pekerja politik”.

Satu perkara yang jelas menarik perhatian mata saya sebagai seorang mahasiswa di institusi bumiputera yang terulung ialah pemotongan dana UiTM.


Baca: Hanya potongan RM4 juta dana UiTM, kata menteri


Ia bakal menyebabkan UiTM menghentikan program pensyarah sambilan dan memotong perancangan strategik.

Jelas saya amat kecewa. Sudahlah kebajikan mahasiswa tidak dipandang tinggi walaupun menerima pelbagai cabaran masa kini, malah peruntukan UiTM juga bakal dipotong.

Jadi sangkaan ramai bahawa kerajaan Perikatan Nasional hari ini merupakan kerajaan dipelopori Melayu-Islam hanyalah retorik kosong.

Besar harapan saya agar Belanjawan 2021 dapat dipinda dengan memasukkan elemen yang dapat membantu mahasiswa dan rakyat B40 yang terkesan hari ini.

Covid-19 mengancam bukan saja nyawa, malah poket juga.

Sekiranya tidak ada pindaan, saya menggesa ahli parlimen mengutamakan suara rakyat dengan menolak Bajet 2021 dalam pengundian di parlimen esok.


MUHAMMAD ABRAR SADIQ AZIZI ialah pengarah komunikasi pemuda Amanah Kepala Batas.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysia.

Lihat Komen
ADS