Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

SURAT | Sebelum ini rakyat berasa runsing akan arahan kerajaan yang berlainan dan sentiasa bertukar-tukar. Arahan untuk prosedur operasi standard (SOP) yang tidak selaras menyebabkan rakyat keliru dan bertambah bimbang.

Hal ini ditambah lagi dengan arahan yang tidak jelas apabila pada Oktober lalu Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan kerja dari rumah dibuat bagi mengurangkan pergerakan di kawasan perintah kawalan pergerakan (PKP) bersyarat.

Namun beberapa hari selepas itu, Kementerian Belia dan Sukan mengumumkan pembukaan semula pusat-pusat sukan di negara ini.

Hal ini menimbulkan banyak tanda tanya kepada rakyat. Keputusan pembukaan pusat-pusat sukan bertentangan dengan tujuan sebenar pelaksanaan kerja dari rumah iaitu untuk mengurangkan pergerakan orang ramai.

Adakah mereka yang bersukan ini tidak terdedah dengan ancaman Covid-19?

Sekarang lain pula ceritanya. Masih ramai lagi rakyat yang gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. Buktinya, seramai 1,002 orang telah ditahan kerana gagal mematuhi SOP di Kuala Lumpur pada hari Krismas lalu. Seramai 125 individu didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal manakala 69 orang tidak memakai penutup mulut dan hidung.

Sejujurnya, dapat diperhatikan gelagat rakyat Malaysia yang kebanyakannya cuma mematuhi arahan pemakaian pelitup mulut dan hidung, manakala penjarakan fizikal amatlah jarang dilakukan.

Sesetengah individu juga masih tidak mengendahkan arahan berkenaan walaupun mengetahui jumlah saman yang perlu dibayar sekiranya melanggar peraturan.

Jika dibandingkan hari ini dengan waktu kali pertama koronavirus datang menyerang negara kita, sekarang sudah jarang melihat orang membawa pensanitasi tangan (hand sanitizer) ke mana-mana. Pensanitasi tangan yang diletakkan di premis-premis juga jarang digunakan.

Beberapa minggu lalu, rakyat sudah dibenarkan untuk melakukan perjalanan merentas negeri kecuali kawasan PKP diperketatkan.

Perkara itu menyebabkan ramai anak rantau pulang ke kampung masing-masing. Tetapi mereka yang datang dari zon merah ini mempunyai risiko tinggi untuk menyebarkan Covid-19 ke kawasan lain.

Pada 29 Dis lalu, Terengganu melaporkan seramai 4,308 individu yang datang dari kawasan zon merah melakukan penilaian risiko di negeri tersebut. Keputusan menunjukkan 21 kes positif Covid-19 termasuk enam kontak rapat.

Walaupun tindakan berkenaan dipuji kerana melakukan ujian secara sukarela, namun tidak sepatutnya mereka yang dari kawasan zon merah merentas negeri.

Hal ini akan menyebabkan munculnya kluster baru yang dibawa oleh orang yang pulang ke kampung sekiranya tidak dikesan lebih awal.

Tambahan pula, terdapat juga mereka yang merentas negeri untuk bercuti. Baru-baru ini telah tular di media sosial tentang kegagalan pengunjung mengamalkan penjarakan fizikal di lokasi percutian popular iaitu Pulau Langkawi dan Zoo Melaka.

Sejurus kejadian itu, kerajaan mengeluarkan kenyataan bahawa SOP mungkin akan diperketatkan sekiranya orang ramai masih tidak mematuhi arahan yang ditetapkan.

Saranan kerajaan yang menggalakkan rakyat untuk melancong dalam negara untuk membaiki ekonomi yang merosot akibat pandemik ini telah mendatangkan masalah yang lain pula.

Rakyat Malaysia dilihat masih belum dapat membiasakan diri dengan norma baru dan rata-rata hanya mematuhi pemakaian penutup mulut dan hidung.

Orang ramai seharusnya mengambil pengajaran daripada kes yang berlaku akibat pilihan raya di Sabah beberapa bulan yang lepas. Penjarakan fizikal sama penting dengan pemakaian pelitup mulut dan hidung.

Kes yang meningkat setiap hari masih mengekalkan empat angka. Peningkatan kes menyebabkan sistem kesihatan tertekan apabila hospital penuh dan katil-katil tidak mencukupi.

Adakah kita tidak mahu melihat angka kes menurun kepada satu atau dua angka seperti beberapa bulan yang lepas?

Walaupun vaksin dijangka akan diberikan pada fasa pertama 2021, kita masih perlu mengamalkan SOP yang telah ditetapkan. Janganlah sudah terhantuk baru tengadah dan mengutuk pihak atasan akibat mengenakan kadar saman yang tinggi.

Ada sebab kenapa kerajaan melaksanakan SOP ini dan mengapa kita harus patuh akan arahan tersebut.


NUR ATHIRAH HAMDAN ialah pelajar tahun kedua pengajian media Universiti Malaya. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS