Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Semuanya kelihatan seakan sudah berakhir buat parti Umno yang dikhabarkan bakal memutuskan kerjasama dan seterusnya menarik balik kesemua sokongan ahli parlimen mereka daripada terus menyokong kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Namun, Umno juga boleh melupakan hasrat mereka untuk melihat Muhyiddin Yassin berundur dari jawatannya kerana beliau sudah memiliki kuasa autonomi yang cukup besar setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan proklamasi darurat sehingga Ogos 2021.

Pengumuman tersebut dibuat selepas selang sehari pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap enam buah negeri.

Walaupun Muhyiddin Yassin tidak lagi mempunyai majoriti yang cukup, beliau masih boleh menarik nafas lega buat sementara waktu sehingga proklamasi darurat berakhir pada bulan Ogos.

Sudah terang bagaikan disuluh bahawa keputusan was-was daripada Umno dalam isu penarikan sokongan terhadap Muhyiddin telah memakan diri mereka sendiri.

Kini, Parlimen diisytiharkan tergantung sehingga tamatnya tempoh proklamasi darurat.

Pada pandangan saya, tempoh proklamasi darurat yang bermula pada hari ini merupakan masa yang akan digunakan oleh Muhyiddin untuk mengumpul semula kekuatan partinya bagi menghadapi PRU 15 kelak.

Dengan menggunakan teknik meraih simpati melalui pengumuman pada setiap hari minggu dan setiap bulan di kaca televisyen, tidak mustahil beliau mampu memperoleh sokongan daripada rakyat.

Dari sisi lain, saya berpendapat bahawa pelaksanaan PKPB sudah cukup untuk membendung wabak pandemik Covid-19 kerana gerak kerjanya yang tidak jauh berbeza dengan darurat yang baru diumumkan ini.

Malahan, istilah darurat itu sendiri mewujudkan kesan negatif terhadap ekonomi dan mampu mengakibatkan unjuran pendapatan negara mengalami defisit yang teruk.

Selain itu, politik yang tidak stabil turut mendorong masalah pelabur asing yang beralih arah ke negara jiran seperti Indonesia kerana faktor ketidakyakinan mereka terhadap taraf ekonomi Malaysia yang kian meruncing hari demi hari.

Persoalan yang bermain di minda saya pada ketika ini ialah mengapa proklamasi darurat perlu dilaksanakan walaupun setelah adanya PKPB?

Alternatif terbaik Umno

Adakah Muhyiddin tidak mahu mengakui bahawa beliau sudah tewas dan bakal memegang rekod sebagai perdana menteri tersingkat dalam sejarah negara?

Saya berpandangan bahawa Muhyiddin perlu berundur seperti mana yang telah dilakukan oleh Dr Mahathir Mohamad sebaik sahaja beliau mengetahui majoriti sokongan ahli-ahli parlimen sudah mulai hilang terhadap dirinya sebagai perdana menteri ketika itu.

Namun, perkara ini kelihatan agak mustahil untuk berlaku dalam masa terdekat ini kerana pelaksanaan proklamasi darurat yang telah diumumkan oleh Muhyiddin telah pun berjalan.

Dalam situasi ini, alternatif terbaik yang harus diambil oleh Umno ialah dengan menarik balik kesemua sokongan ahli parlimen daripada kerajaan dan mewajibkan kesemua menteri dari parti tersebut untuk meletakkan jawatan dalam kabinet kerajaan dan GLC.

Umno telah dibuli dengan teruk malahan dipandang sebagai parti yang gila kuasa oleh rakyat pada hari ini.

Jika diamati, menteri Umno khasnya yang memegang portfolio pengajian tinggi dan kesihatan seringkali menjadi tumpuan kritikan rakyat dan netizen dalam dunia maya sehingga menjejaskan kredibiliti mereka berbanding menteri dari Bersatu dan PAS.

Tambahan pula, ini merupakan masa yang paling tepat untuk merangka strategi baru bagi menghadapi PRU 15 nanti.

Pada masa yang sama, kita juga bakal melihat siapakah ahli Parlimen yang masih taat dengan parti dan siapakah yang gilakan jawatan jika kepimpinan tertinggi Umno mengarahkan ahli-ahli parlimennya berundur daripada kerajaan.

Oleh itu, Umno perlu segera melakukannya dan tidak boleh teragak-agak jika tidak mahu melihat parti mereka ditenggelamkan oleh parti Bersatu pimpinan Muhyiddin.

Umno perlu sedar bahawa pengorbanan mereka selama lebih 11 bulan dalam memberikan sokongan terhadap Muhyiddin adalah tidak berbaloi sama sekali kerana mereka ditindas bahkan segelintir wakil rakyat mereka diracuni dengan jawatan-jawatan dalam kerajaan.

Natijahnya, sudah tiba masanya Umno mempersiapkan diri untuk menghadapi PRU15 yang mungkin akan menyaksikan pertembungan sengit tiga penjuru antara BN, PN dan juga PH.


MUHAMMAD HAFEEZZUR RAHMAN ialah pelajar tahun kedua sarjana muda Pengajian Media, Universiti Malaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS