Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Rungutan demi rungutan kita dengar dari kalangan ibu bapa terhadap isu pendidikan anak-anak.

Bukan sehari dua, tetapi sedar atau tidak kita telah bercakap soal pendidikan anak-anak dari tadika sehingga ke menara universiti semenjak dari hari pertama Covid-19 menjengah negara ini pada 25 Januari tahun lalu.

Ya benar. Setahun sudah berlalu. Namun, mereka yang bertanggungjawab dalam merangka secara strategik bagaimana kita mahu mengadaptasi norma baharu dalam pendidikan boleh dianggap gagal.

Corak pemikiran yang hanya mahu menunggu bila lengkung Covid-19 berjaya dilandaikan akhirnya membawa kepada episod duka yang bukan sahaja ditanggung ibu bapa malah yang paling sedih adalah anak-anak generasi baharu. Adaptasi norma baharu dalam sektor pendidikan bermula begitu caca-marba sekali.

Pembelajaran secara atas talian mungkin adalah yang terbaik mendepani cabaran pandemik. Namun pelaksanaan dan persediaan untuk memastikan semua anak-anak tidak ketinggalan perlu diperhalusi dan tidak semberono sahaja.

Bahkan sekiranya perlu dibantu sehingga sampai ke depan pintu marhaen pun ianya perlu dibuat. Kerana pendidikan adalah hak semua insan. Apatah lagi bila melibatkan anak-anak yang bakal mewarisi masa hadapan negara ini.

Perbendaharaan negara paling banyak dilaburkan pada sebuah kementerian yang disandarkan harapan untuk membantu melahirkan generasi berpendidikan bahkan untuk menidakkan keciciran anak-anak dalam pendidikan.

Adakah RM50,400,000,000 (RM50.4 bilion) dalam Bajet 2021, dan RM64,100,000,000 (RM64.1 bilion) dalam Bajet 2020 akhirnya menatijahkan rakyat B40 dan miskin terpaksa keluar beli gadjet sendiri untuk ikut kelas atas talian?

Hentikan politik rebut kuasa dan nak tunjuk siapa hero. Fokus kebajikan rakyat.


HAZWAN MOHAMAD ialah Ketua Angkatan Pemuda Pemuda Berjasa (Angkasa).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS