Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Menilai semula alasan poligami dalam 'siaran portal kerajaan'

Artikel ini adalah respons terhadap laman sesawang MyGovernment mengenai keperluan poligami di dalam Islam yang telah dipadamkan kedua-duanya (Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris) baru-baru ini pada pautan di sini. 

Pada 22 Feb lalu, MP Jerlun Mukhriz Mahathir dipetik media dalam talian mengkritik sebuah portal kerajaan berhubung artikel mengenai poligami dengan berkata, ia adalah antara sebab mengapa Islam disalah faham.

Laman sesawang MyGovernment dilaporkan telah memaparkan sebab-sebab poligami diharuskan bagi para suami. 

Ingin kami mengutarakan bahawa ia amatlah mendukacitakan dan memalukan apabila laman sesawang MyGoverment telah menyebarkan maklumat yang palsu kepada rakyat tentang keperluan poligami di dalam Islam. 

Dalam masa yang sama, isu “poligami scam” masih belum dirungkai dan diselesaikan pihak-pihak berkuasa, terdapat pula naratif keperluan poligami yang tidak berlandaskan bukti dan pemahaman agama. 

Naratif palsu tentang keperluan poligami inilah yang meracuni minda suami-suami di luar sana untuk bertindak melulu dan rakus dalam mengejar “kenikmatan” poligami. 

Kita boleh menuding jari dan mengatakan punca berlakunya masalah dalam institusi kekeluargaan, terutamanya dalam isu poligami merupakan kekhilafan dan kekurangan rakyat semata. 

Bagaimanapun, hakikatnya jika ini yang disuapkan ke minda rakyat, tidak hairanlah produk dan tingkah laku mereka sebegitu. 

Bak kata pepatah Melayu, “bapa borek, anak rintik.”

Antara ‘keperluan’ poligami yang dinyatakan adalah; suami mempunyai keinginan seksual yang luar biasa sehingga isterinya tidak dapat memenuhi kehendak seksualnya; keadaan isteri yang selalu sakit; isteri yang kehilangan suami akibat perang (balu); dan jika isteri tidak mampu memberi zuriat. 

Sisters in Islam (SIS) ingin menyatakan Islam tidak menjadikan poligami itu sebagai satu ‘keperluan’ di dalam mana-mana situasi tersebut.

Tidak dinyatakan di mana-mana nas Al-Quran atau hadis yang menyarankan atau membenarkan para lelaki untuk berkahwin lebih daripada seorang jika si lelaki itu tidak dapat mengawal nafsu syahwatnya. 

Amat membimbangkan perkara ini ditanam di fikiran rakyat Malaysia tanpa usul selidik tentang kebenarannya.

Malah, Islam menekan faktor kemampuan untuk berkahwin. Jika tidak mampu, jangan berkahwin. Ini kerana, ketidakmampuan dari segi kewangan, masa, kasih sayang dan sikap adil akan melahirkan kezaliman kepada keluarga yang bakal dibina. 

Apatah lagi, untuk berkahwin lagi satu. Fahami saranan sebenar Islam dalam membendung syahwat, adalah dengan berpuasa dan menundukkan pandangan.

Daripada Ibn Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat)."

Bagi para lelaki yang sudah berkahwin, Rasulullah SAW menyeru para suami kembali kepada isteri dan bukan keluar mencari lagi seorang isteri untuk berpoligami.

“Jika engkau melihat seorang wanita, lalu ia memikat hatimu, maka segeralah datangi isterimu. Sesungguhnya, isterimu memiliki seluruh hal seperti yang dimiliki oleh wanita itu."

(Hadis Tirmidzi)

Alasan untuk berpoligami ini seolah-olah meletakkan nilai wanita hanya sebagai satu tempat atau semata-mata objek seks untuk melempiaskan hawa nafsu lelaki dan menggunakan nama dan hukum poligami bagi menghalalkan sikap yang tidak bertanggungjawab ini, sekaligus menutup kelemahan kita sebagai umat Islam dalam menjaga iman masing-masing.

Seterusnya, ingin kami menegaskan bahawa pihak kerajaan haruslah mendorong rakyat dalam memahami bahawa komitmen dan tanggungjawab dalam perkahwinan bukanlah hanya seks dan melahirkan zuriat semata-mata tetapi, sikap saling bantu-membantu, toleransi, kasih sayang dan hormat-menghormati haruslah ditekankan.

Paparan alasan poligami pada laman sesawang MyGovernment ini seolah-olah memperlekehkan institusi kekeluargaan yang mementingkan nilai-nilai murni tersebut. 

Amatlah memalukan juga apabila sebuah institusi kerajaan harus diingati dan ditegur oleh pihak lain tentang konsep-konsep sebuah perkahwinan iaitu, sakinah mawaddah, dan warrahmah (ketenangan, cinta, dan kasih sayang). 

Ini termasuk komitmen bersama menempuhi perkahwinan dalam susah dan senang.

Alasan ketiga yang disenaraikan di laman sesawang MyGoverment mengenai poligami adalah jika wanita itu menjadi balu akibat kematian suami dalam peperangan atau merupakan anak yatim. 

Meskipun ini merupakan alasan yang kukuh bagi berpoligami, namun SIS berpendirian, alasan ini sudah tidak lagi relevan dan terguna pakai kepada mana-mana rakyat di Malaysia. 

Seringkali kita lihat yang terlibat dengan poligami pada hari ini, bukan untuk membela nasib balu mahupun anak yatim.

Dimadu sebab tiada zuriat

Selain itu, isteri juga mempunyai hak untuk mendapatkan anak seperti suami. Kedua-dua pihak harus menjalani pemeriksaan perubatan yang rapi.

Sains perubatan menunjukkan bahawa bagi kes-kes pasangan yang tidak mempunyai anak, satu pertiga adalah kerana kesihatan wanita, satu pertiga adalah kerana lelaki dan satu pertiga adalah kerana sebab-sebab yang tidak diketahui (Rujukan: Buku Islam dan Poligami oleh SIS). 

Dalam mana-mana senario, tidak wajar isteri dimadukan oleh kerana belum atau tidak dikurniakan zuriat. Ia adalah hak Allah untuk mengurniakan anak atau tidak kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Seperti yang terdapat di dalam Surah al-Shura 42: Ayat 49 dan 50:

“Bagi Allah jualah hak milik segala ada di langit dan di bumi; Dia menciptakan apa yang dikendakiNya; dan mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya anak-anak lelaki dan perempuan, dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya mandul. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Berkuasa.”

Takdir tuhan ini tidak sepatutnya dijadikan beban kepada para isteri, seolah-olah jika seorang wanita itu tidak berkemampuan untuk mendapatkan anak, nilai wanita itu berkurang sebagai manusia dan seorang isteri. 

Teknologi sains perubatan terbukti berkesan bagi mendapatkan zuriat. Walaupun kerajaan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengeluarkan sebahagian daripada simpanan di dalam Akaun 2 untuk rawatan kesuburan, namun, kerajaan masih lagi tidak menyediakan subsidi untuk rawatan kesuburan ini. 

Subsidi seperti ini bukan sahaja dapat membantu pasangan untuk mendapatkan rawatan kesuburan tetapi, ia juga untuk mencelikkan minda rakyat tentang pelbagai lagi alternatif lain selain daripada poligami atas alasan untuk mendapatkan zuriat. 

Selain itu, kerajaan juga harus menekankan kepentingan dan kebaikan pengambilan anak angkat dan sememangnya bukanlah menyokong alasan kuno dan tidak bertanggungjawab ini untuk menghalalkan poligami.

Alasan-alasan yang lemah dan menyeleweng ini akan mendatangkan darar syarie (bahaya atau mudarat) kepada ramai isteri. 

Antara cadangan SIS agar meletakkan keutamaan menjadikan setiap unit keluarga yang celik ilmu reproduksi, selain memahami tanggungjawab suami isteri dalam pelbagai senario yang bakal mereka hadapi di dalam rumahtangga.

Pihak kerajaan haruslah bertanggungjawab untuk menjaga institusi kekeluargaan dari semua aspek dan bukanlah melihat “kebahagiaan” dan kepuasan seksual suami semata.


ALEZA OTHMAN pegawai komunikasi Sisters in Islam (SIS), manakala IREENY MUZAMMEL pula pegawai perundangan SIS.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS