Paling Popular
Terkini

SURAT | Situasi mutakhir Pakatan Harapan (PH) memperlihatkan Amanah menjadi parti terkecil dan kelihatan lemah sehingga menjadi sasaran buli oleh rakan komponen terutamanya PKR.

Sudahlah memiliki jumlah ahli parlimen dan Adun yang terbatas, yang ada pula dicuri ke dalam PKR walaupun dengan alasan mereka masih dalam kumpulan pembangkang yang sama.

Pun begitu ia tetap tidak mewajarkan situasi buli ini berlaku.

Kesetiaan Amanah dalam PH berpaksikan setiakawan serta janji sokongan kepada Anwar Ibrahim untuk diangkat sebagai perdana menteri, bermula dengan bakal perdana menteri keenam, ketujuh dan kelapan sehinggalah terkini yang kesembilan.

Situasi berbalah dalam PH memang tidak manis dan tidak membantu apa-apa pun ketika keberadaan gabungan itu kelihatan seperti hidup segan mati tak mahu.

Ia berlaku ketika semua parti komponen kelihatan tidak berminat untuk menghidupkan PH sebagai suatu gagasan politik.

Ketika ini, negara kita sedang berhadapan dengan masalah kerumitan ekonomi yang serius, kejatuhan nilai mata wang dan kesusutan punca pendapatan serta aliran keluar wang lebih tinggi dibanding aliran masuk.

Masalah ekonomi berlaku apabila pelabur asing melihat keadaan politik negara kini tidak stabil, ditambah dengan pandemik Covid-19 yang tidak berkesudahan dan program vaksinasi negara yang baru berada dalam fasa pertama.

Lagak bagai harimau lapar

Ketidakstabilan politik ini berlaku apabila blok kerajaan dilihat lemah dan rapuh, bermula dari dakwaan Anwar memiliki bilang ahli parlimen yang menyokongnya dalam keadaan kukuh dan meyakinkan.

Walaupun disebutkan keadaan itu sebagai "strong, formidable, convincing" namun sebaliknya apa yang berlaku sekarang ialah bilangan ahli parlimen PKR yang berkurangan.

Memang ada yang bertambah iaitu jumlah Adun yang diambil dari geluk Amanah iaitu rakan sesama blok pembangkang, bukannya pihak kerajaan.

Pada masa sama Umno juga masih bermain tarik tali di antara menyokong Perikatan Nasional (PN) dan mengugut untuk menarik diri dari semasa ke semasa.

Misalnya sebelum mesyuarat majlis tertinggi pemimpin mereka berlagak bagaikan harimau lapar yang sedia menggeroyok pimpinan Bersatu dan konco-konco mereka sampai lumat. Namun selepas mesyuarat selesai akhirnya semua menjadi kucing kurap menyendeng di tepi jalan sambil merayu untuk sisa makanan.

Situasi ini amat tidak baik untuk kestabilan politik, ekonomi, keselamatan dan ketenteraman negara.

Rakyat juga sudah menyampah dengan drama politik tanpa kesudahan ini, bermula daripada gerakan memaksa Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan pada zaman PH menjadi kerajaan hinggalah dakwaan Anwar dia memiliki cukup majoriti untuk menumbangkan Muhyiddin Yassin.

Kisah yang diceritakan itu adalah episod khurafat sebagaimana Umno yang mendakwa mereka berani melawan PN.

Sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang, jelas sekali telatah orang politik ini semuanya amat menyerabutkan, pelik dan kadang-kadang lucu bagaikan perkumpulan kera berebut pisang.

Semua itu memang menambah kebencian rakyat yang kini dalam kesusahan akibat Covid-19 serta pelbagai kekangan yang ada.

Justeru Amanah wajib membuat keputusan demi rakyat dan negara. Pada masa sama perlu bertindak menyelamatkan parti dan nama baiknya.

Dalam keadaan politik tidak stabil dan ekonomi tenat, Amanah perlu juga menyelamatkan maruah parti daripada terus dihina anggota PH, maka parti itu mesti menjadi blok dalam politik negara sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Tercabut skru dan gear

Menjadi blok bebas bukanlah bermakna Amanah menyokong kerajaan, bukan juga bermakna melawan pembangkang sebaliknya menjadi pihak ketiga yang bebas menegur kerajaan tanpa bersama pembangkang membawa agenda menjatuhkan kerajaan semata-mata.

Berada dalam blok bebas dapat mengelak Amanah dilihat berserabut dengan telatah lucu pembangkang yang kekal bergelut untuk mengangkat Anwar menjadi perdana menteri.

Ia juga dapat mengelakkan Amanah menjadi bahan dagangan kepada Umno dalam drama ugutan mereka ke atas PN.

Sebagai blok bebas Amanah boleh menegur dan mengimbangi tindak tanduk Muhyiddin dan gerombolannya sehingga PRU ke-15 serta tidak mengulangi dosa menjatuhkan kerajaan yang akhirnya memangsakan rakyat.

Amanah juga berpeluang memperkasakan semula parti setelah enjinnya diperah dan digunakan untuk kerja-kerja politik berbalah dan berlawan, sampai tercabut segala skru dan gear.

Dengan kata lain sekarang adalah masa untuk Amanah melakukan untuk overhaul. Tidak perlu lagi melompat bersama pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan atau 24 jam berlawan.

Tugas Amanah ialah berada di pihak yang benar dan melaksanakan mekanisme semak dan imbang apabila parlimen bersidang.

Yang paling penting, imej, jenama dan nama Amanah mesti dipersiapkan sebelum PRU ke-15 menjelang.

Adakah Amanah terus jadi budak belasahan dalam PH atau berdiri sebagai blok bebas dan memiliki masa untuk mengurus parti? Pada masa sama Amanah boleh terus berkhidmat untuk rakyat dan negara bersama kerajaan.

Justeru sama ada mahu menjadi bebas atau terus lemas - pilihlah wahai Amanah.


AKTIVIS AMANAH ialah pemimpin Pemuda di peringkat negeri yang enggan dikenali umum.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS