Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Bersih6 adalah pilihan, jika kerajaan terus nafikan #Undi18

Saya merakamkan tahniah kepada 18 orang anak muda yang berani memfailkan semakan kehakiman terhadap perdana menteri dan kerajaan Malaysia susulan penangguhan pelaksanaan #Undi18 yang diumumkan sebelum ini.

Mereka yang mewakili Gerakan Undi18 telah menuntut dua deklarasi deklarasi iaitu tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan penurunan umur pengundi daripada 21 ke 18 adalah tidak sah serta pengundi berumur 18 ke 20 tahun berhak mengundi menjelang Julai 2021.

Dengan gerak kerja yang terpaksa dilakukan kumpulan anak muda ini semata-mata menuntut kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin yang disokong PAS dan Umno bertanggungjawab untuk memberikan hak yang dirampas daripada mereka, jelas memberikan gambaran bahawa kerajaan hari ini sedang memperlekehkan kematangan dan kewibawaan yang dimiliki oleh anak muda.

Akal budi mereka telah bonsai akibat kecanduan kuasa dan kemabukan untuk mengekalkan kuasa.

Lantas kita hari ini di persimpangan; mahu melawan pandemik dengan SOP #duadarjat yang terus merundung malang sebahagian besar rakyat atau berjuang semahunya membela hak demokrasi yang dirampas?

Jawapan saya, kita harus bersatu dan gerak bersama-sama. Punca kedua-duanya ini adalah sebuah kerajaan #PNipu dan mementingkan diri.

Maka gerakan untuk merangkul semua gerakan sivil dan pemegang taruh harus digerakkan sekarang.

Jika akhirnya pilihan yang ada hanyalah Bersih 6, dengan kepatuhan SOP yang ketat - kita yakin ribuan rakyat Malaysia akan kembali ke jalan raya.


SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN ialah ketua Pemuda Pakatan Harapan merangkap ketua Pemuda Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS