Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | G25 bimbang RUU beri kesan buruk pada sentimen pelabur

G25 berasa khuatir berikutan laporan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bercadang untuk membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) serta RUU Kawalan dan Sekatan Penyebaran Agama Bukan Islam di Parlimen.

Kedua-dua rang undang-undang ini akan dilihat sebagai didorong oleh sentimen politik menjelang PRU. Lagi pula, jika dua RUU ini diluluskan menjadi undang-undang, situasi ketaksaksamaan kaum dan agama dalam kalangan rakyat negara ini akan menjadi semakin buruk dan struktur sosial masyarakat kita akan hancur. Penggubalan undang-undang sedemikian akan dilihat oleh pemerhati tempatan dan asing sebagai satu langkah ke belakang yang akan membawa kemunduran dari segi perpaduan dan kestabilan nasional.

Meskipun dikatakan bahawa segalanya dibolehkan dalam situasi yang sukar atau luar biasa, ungkapan ini tidak seharusnya diamalkan dalam bidang politik kerana langkah politik yang bersandarkan perkauman dan agama boleh mendatangkan kesan yang amat buruk terhadap ekonomi. Seperti yang pernah kita saksikan apa yang terjadi di beberapa buah negara Islam - apabila ekonomi negara menjadi lumpuh, tidak lama kemudian negara tersebut akan menjadi negara gagal.

G25 ingin mengingatkan ahli politik kita tentang realiti di Malaysia bahawa ekonomi negara serta peluang pekerjaan dan pendapatan yang baru bergantung kepada perkembangan sektor swasta. Secara tradisi, dalam ekonomi Malaysia, syarikat swasta dan organisasi komersial akan membuat keputusan berhubung dengan jenis dan kegiatan pelaburan, pengeluaran, penjualan, eksport dan import yang ingin diceburi.

Walaupun peranan kerajaan dalam ekonomi telah berkembang dengan ketara sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada 1970, hakikatnya hari ini pelaburan swasta tempatan dan asing serta penggunaan domestik masih menjadi penyumbang kemajuan ekonomi dan penciptaan pekerjaan yang lebih besar.

Oleh itu, walaupun perbelanjaan kerajaan dan perkhidmatan awam adalah penting bagi kehidupan seharian rakyat, kebanyakan daripada 14 juta tenaga kerja di Malaysia bergantung pada sektor swasta sebagai punca pendapatan untuk menyara kehidupan mereka.

Rancangan pembangunan ekonomi lima tahun dan rancangan pembangunan ekonomi jangka panjang yang dibuat oleh kerajaan sendiri sangat jelas membuktikan perkara ini.

Asas keseluruhan Wawasan Kemakmuran Bersama bagi menggantikan dasar sosioekonomi kerajaan yang berdasarkan kaum di bawah DEB telah dibuat dengan tanggapan bahawa sektor swasta akan terus memacu ekonomi untuk menjana sumber yang mencukupi, agar kerajaan dapat mengagihkan hasil kemakmuran kepada golongan yang miskin dan memerlukan merentasi semua negeri tanpa mengira kaum dan agama.

Memandangkan keadilan dalam pengagihan merupakan asas penting perpaduan, keamanan dan kestabilan negara kita, maka kerajaan selama ini sentiasa menekankan betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh sektor swasta, baik tempatan mahupun asing, dalam menyusun rancangan jangka sederhana dan jangka panjang negara.

Cadangan RUU yang dibayangkan oleh Jabatan Perdana Menteri dengan tujuan memperkukuh penguatkuasaan Islam akan membawa kesan buruk dari segi sentimen pelabur. Ini kerana apabila pemimpin perniagaan melihat hal perkauman dan agama semakin dipolitikkan serta diinstitusikan ke dalam sistem undang-undang dan peraturan, mereka akan menjadi khuatir tentang kemungkinan keseluruhan struktur pemerintahan berkaitan dengan perkhidmatan am, polis, dan badan kehakiman akan menjadi berat sebelah ke arah menyokong kumpulan kaum dan agama yang dominan dan membelakangkan golongan minoriti.

Keadaan ini adalah tidak sihat bagi perpaduan nasional dan boleh membawa kepada ketidakstabilan sosial dan politik. Kegusaran rakyat Malaysia tentang masa depan akan menyebabkan mereka mula mengalihkan dana mereka ke luar negara untuk tujuan pelaburan dan simpanan yang selamat, dan ini akan diikuti dengan penghijrahan golongan bijak pandai meninggalkan negara ini ke negara lain.

Semua ini akan mengisyaratkan rasa tidak yakin terhadap masa depan negara.

Negara-negara jiran pula semakin menarik pelaburan asing langsung (FDI) seperti yang dinyatakan dalam laporan terkini UNCTAD yang menjejak pergerakan FDI merentasi semua benua. Seperti yang dapat dilihat dari laporan UNCTAD, Malaysia kini ketinggalan jauh di belakang negara-negara Asean lain.

Pada satu ketika dahulu, kita pernah menjadi penerima FDI yang tertinggi di Asia Tenggara. Kini, pelaburan tempatan juga semakin melemah akibat pengaliran keluar sumber modal dan penghijrahan golongan bijak pandai tempatan ke luar negara.

Semua pergerakan dana ke luar negara menyebabkan nilai ringgit menjadi lemah. Mata wang yang lemah menjadikan sesebuah negara sangat mudah terkesan dengan inflasi luar, dan di setiap negara, golongan miskinlah yang terjejas paling teruk apabila harga barangan tempatan mula meningkat disebabkan oleh tekanan inflasi.

Kami menyeru para pemimpin negara agar berpandangan jauh mengatasi hal-hal kaum dan agama dalam membentuk dasar, kerana jika pelabur dan pemimpin perniagaan hilang kepercayaan terhadap masa depan negara akibat ketidakstabilan dalaman, dan rakyat Malaysia merasa tertekan dengan kemerosotan situasi, kita semua akan menanggung kesusahan akibat pemikiran singkat para pemimpin dalam membuat keputusan yang turut memberi kesan kepada semua kaum dan semua negeri di Malaysia.

Sabah dan Sarawak sudah mula bersuara menyatakan ketidakpuasan hati berhubung dasar-dasar Persekutuan yang mengabaikan budaya dan warisan sejarah mereka.

Kedua-dua rang undang-undang yang diusulkan untuk dibentangkan di Parlimen akan mencetuskan lebih banyak ketegangan antara wilayah-wilayah di negara ini, serta memalapkan lagi suasana pelaburan dan prospek ekonomi negara.


G25 ialah kumpulan yang dianggotai bekas penjawat awam kanan Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS