Perbuatan melacurkan kanak-kanak satu perbuatan yang terkutuk di sisi agama. Umat Islam diajar untuk mencari nafkah yang halal kerana dalam rezeki yang halal untuk terdapat nilai keberkatan.

Mengekploitasi kanak-kanak untuk mencari keuntungan merupakan tindakan yang harus dikutuk. Kegiatan ini bakal mengundang satu keadaan yang tidak sihat serta pelbagai penyakit seperti Aids dan sebagainya.

Kajian yang dikeluarkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendedahkan 4,315 orang kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah terlibat dalam aktiviti pelacuran. Kanak-kanak ini bertambah malang kerana mereka bukan sahaja dipaksa untuk melacurkan diri malah tidak dapat peluang untuk menimba ilmu.

Hal ini sangat membimbangkan kerana kanak-kanak ini menempuh kehidupan yang gelap. Ketiadaan peluang untuk mereka bersekolah akan menyebabkan mereka akan mundur dan bakal disisihkan oleh masyarakat.

Sebenarnya, di kebanyakan negara Asia Tenggara isu pelacuran kanak-kanak ini sudah lama mendapat perhatian masyarakat antarabangsa. Sebagai contoh di Vietnam, perindustrian seks kanak-kanak sudah menjadi satu daya tarikan kepada pelancong-pelancong asing yang datang ke negara mereka.

Malah industri ini berkembang dengan pesat sehinggakan agak sukar untuk dikawal oleh kerajaan Vietnam.Walaupun pelbagai penguatkuasaan telah dijalankan, namun kegiatan ini terus berleluasa. Sebenarnya keadaan ini telah mendapat perhatian dunia dan beberapa kajian telah dibuat tentang masalah ini.

Memang terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada pelacuran kanak-kanak. Namun kita harus melihat punca yang paling utama kepada masalah ini.

Faktor kemiskinan merupakan antara punca utama kanak-kanak ini terlibat dalam pelacuran. Ini kerana kemiskinan yang mendesak menyebabkan ada di kalangan kanak-kanak ini dipaksa untuk melacurkan diri. Hal ini terjadi di banyak negara-nagara yang miskin seperti Vietnam, Kemboja dan lain-lain.

Hambatan kemiskinan menyebabkan ibu bapa terpaksa keluar mencari jalan yang mudah dengan melacurkan anak mereka sendiri. Ini dapat dibuktikan dengan adanya di kalangan masyarakat kita menjadikan pelacuran kanak-kanak ini menjadi satu pekerjaan turun temurun.

Justeru,kita harus melihat perkara ini dengan serius. Usaha menangani juga perlulah dilakukan secara kolektif. Golongan ini perlulah kita dekati dan perlulah diselamatkan.

Penguatkuasaan undang-undang masih belum memadai sekiranya pemimpin dan masyarakat tidak sensitif dalam perkara ini. Semangat kasih sayang dan belas kasihan perlu disuntik dalam diri agar timbul kesedaran tentang gejala yang membarah ini.

Namun begitu, penguatkuasaan dan kesedaran masyarakat masih belum mampu menghalang isu ini sekiranya faktor kemiskinan masih menghambat diri mereka.

Penulis mewakili exco pendidikan dan penyelidikan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.