Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | Air di Kelantan perlu kerjasama semua pihak

Mantan anggota exco kanan negeri, yang juga merupakan bekas naib presiden Amanah, Husam Musa menyoal Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengenai kejadian didakwa bekalan 'air terputus' dalam kejadian memadam kebakaran. 

Isu air sering kali menjadi modal politik pembangkang di negeri Kelantan yang menyiarkan laporan berat sebelah tanpa fakta yang betul.

Rakyat Kelantan diminta tidak terpengaruh dengan dakyah dan cerita berat sebelah Husam. Sejak kepimpinan  Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man, negeri Kelantan tidak lagi dianaktirikan. 

Sebagai contoh, bilangan Loji Rawatan Air (LRA) di Kelantan kini mencecah 34 loji dengan liputan bekalan sebanyak 72%. 

Untuk penyelesaian segera, isu ketiadaan air atau tekanan rendah di Kelantan, LRA Kg Telok dengan kapasiti 30 juta liter sehari (JLH) dibina. 

LRA Tanjong Mas dan LRA Chicha II turut dibina dengan kapasiti 40 JLH. 

Pembinaan jangka masa panjang di Kelantan adalah dengan pembinaan TAPS dan LRA bersepadu dengan kapasiti 500 JLH dianggarkan untuk meluaskan liputan air daripada 72% kepada 90% dalam masa terdekat. 

Rizab bekalan air juga dianggarkan meningkat dari sifar kepada 20%.

Semua pihak termasuk pihak operator air iaitu AKSB sendiri perlu proaktif dalam menyalurkan maklumat kepada rakyat Kelantan supaya isu air tidak menjadi modal pembangkang di negeri ini. 

Banyak usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam memastikan masalah air rakyat Kelantan dapat diselesaikan dengan cepat.

Selaku Pengerusi Ikatan Negeri Kelantan merangkap ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), saya ingin mengajak semua pihak bersatu hati dalam memulihkan isu air di Kelantan yang dianaktirikan selama lebih 60 tahun. 

Isu ketiadaan air sewaktu kebakaran di Berek 12 Kelantan menjadi modal politik, walhal air bersih sebenarnya disalurkan dan terbukti mengalir dengan tekanan tinggi di kawasan tersebut. 


SHAHIR ADNAN ialah ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Parti Ikatan Bangsa Malaysia merangkap Pengerusi Ikatan Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS