Paling Popular
Terkini

SURAT | Hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kampung sekitar kawasan Janda Baik di Bentong, Pahang dilanda banjir kilat.

Antara kampung terjejas teruk dalam kejadian tersebut termasuklah Kampung Sum Sum, Kampung Pulau Santap dan Kampung Chemperoh, yang menyebabkan 42 keluarga terpaksa berpindah ke lokasi selamat.

Pengusaha chalet dan penduduk kampung di sekitar Janda Baik berkemungkinan besar akan menempuh detik cemas sekali lagi apabila kawasan itu diramal dilanda banjir kilat buat kali ketiga ketika musim monsun barat daya yang bermula esok.

Menurut Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Kadir Sheikh Fadzir, yang juga merupakan penduduk di Janda baik, beserta maklumat yang diterima oleh beberapa penduduk di sekitar, keadaan seperti ini tidak pernah berlaku sepanjang tempoh 20-30 tahun mereka tinggal di situ.

Kejadian seperti ini berkemungkinan besar diakibatkan oleh perbuatan tidak bertanggungjawab – seperti pembalakan di hulu sungai hingga mengganggu keseluruhan ekosistem semula jadi di Janda Baik.

Lokasi Janda Baik yang berdekatan dengan Kuala Lumpur, menjadikan lokasi ini tempat strategik untuk industri pelancongan dan inap desa.

Janda Baik menjadi tempat istirehat dan bercuti untuk segenap lapisan masyarakat – B40, M40 dan T20 dengan kadar sewa inap desa bermula dari RM50 satu malam.

Lebih menyedihkan, lokasi inap desa ini yang berdekatan dengan sungai di Janda Baik, telah terjejas teruk dek kerana siri banjir kilat berlumpur ini.

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat sepenuhnya insiden banjir kilat berlumpur ini yang dikhuatiri berlaku akibat aktiviti pembalakan di hulu sungai.

Kerajaan perlu melaksanakan satu kajian yang lebih akademik dan telus untuk mencari punca dan cara mengatasinya.

Media turut melaporkan sebanyak 33 buah daripada 54 tempat peranginan atau resort dan chalet di Janda Baik musnah teruk akibat banjir tahun lalu dengan kerosakan dianggarkan di antara RM157,500 hingga RM6 juta bagi setiap tempat peranginan atau chalet.

Lima anak sungai utama termasuk Ulu Sungai Benus, Sungai Kuala Lurau dan Sungai Tampik, yang sebelum ini membekalkan air bersih dan menjadi daya tarikan pelancong, kini tidak lagi seperti dahulu.

DPIM menggesa tindakan tegas dan segera perlu diambil sebelum Janda Baik bertukar daripada tempat peranginan kepada pusat bencana alam.


SHAHIR ADNAN merupakan Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS