Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Saya, berketurunan Thai/Siam yang berasal dari Perak, adalah pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selepas berkhidmat selama kira-kira 23 tahun. Saya juga merupakan pelanggan setia malaysiakini serta Malaysia Today yang telah banyak membuka minda saya, selain memberi maklumat yang sebenar dan jelas kepada saya, terutama mengenai suasana politik negara kita

Selepas bersara, saya menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan membuka sebuah syarikat sendiri. Bagi membolehkan saya berurusniaga dengan jabatan kerajaan secara lebih efektif, syarikat saya memerlukan status bumiputera yang perlu dimohon melalui Kementerian Kewangan.

Permohonan saya gagal kerana saya percaya alasannya adalah kerana saya bukan seorang bumiputera, tetapi kementerian berkenaan tidak menyatakannya sebagai alasan secara bertulis apabila menolak permohonan saya.

Selama ini, saya difahamkan kerajaan telah mengiktiraf keturunan Siam Malaysia sebagai masyarakat bumiputera, selain masyarakat Portugis di Melaka dan kaum pribumi di Sabah dan Sarawak.

Sebagai makluman, saya boleh melabur dalam Amanah Saham Nasional/Bumiputera yang dikhaskan kepada kaum bumiputera sahaja. Jadi, saya tidak faham dengan keadaan ini sama ada saya bumiputera atau bukan bumiputera, ataupun masyarakat Siam itu bumiputera atau sebaliknya.

Atau adakah ini hanya suatu permainan (janji manis) dari pihak kerajaan yang ingin mendapat sokongan masyarakat Siam supaya menyokong parti pemerintah. Setahu saya, selama ini, masyarakat Siam merupakan penyokong kuat kerajaan dan tidak pernah berpaling tadah. Persoalan inilah yang saya amat memerlukan jawapannya.

Atas kegagalan mendapatkan jawapan yang memuaskan, saya telah menulis surat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Nazri Aziz yang kebetulan menjadi Penaung Persatuan Siam Malaysia (PSM). Saya juga gagal mendapatkan jawapannya.

Saya juga pernah menghantar surat kepada pihak Kementerian Kewangan, juga tiada jawapan. Sebelum ini, saya mengajukan soalan ini ke ruangan forum Berita Harian tetapi tiada apa-apa juga yang saya perolehi.

Mungkin malaysiakini boleh membantu saya bagi merungkai 'misteri' yang membelenggu masyarakat saya selama ini.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS