Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | CAP bantah perlombongan di hutan simpan kekal

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), menggesa semua Pihak Berkuasa Negeri terutamanya di negeri-negeri Perak, Kedah, Kelantan dan Pahang di mana perlombongan dilaporkan berlaku supaya mengelak sebarang aktiviti perlombongan di kawasan hutan simpan kekal dan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS).

Semua pihak berkuasa negeri juga digesa supaya mempertimbangkan semula dan membatalkan kelulusan operasi perlombongan di kawasan-kawasan tersebut.

Gesaan dan pertimbangan tersebut adalah selari dengan ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-70 pada 18 November 2014 yang telah memutuskan supaya semua negeri mengambil inisiatif untuk mengawal atau sebolehnya mengelakkan sebarang kelulusan aktiviti perlombongan dan pengkuarian di kawasan hutan simpan kekal dan KSAS.

Kewajaran MTN melaksana ketetapan tersebut kerana aktiviti perlombongan dan pengkuarian di kawasan hutan simpan kekal secara langsung akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara.

Gambar fail.

Sebagai contoh, lokasi cadangan perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri Kedah adalah di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang manakala di negeri Perak pula terletak di dalam sebahagian Koridor Rangkaian Ekologi 'Central Forest Spine' 1 - Primary Linkage 8: Hutan Simpan Kenderong - Hutan Simpan Bintang Hijau, Daerah Hulu Perak (Koridor Rangkaian Ekologi CFS 1 - PL 8: Hutan Simpan Kenderong - Hutan Simpan Bintang Hijau).

Berdasarkan Seksyen 2, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), sumber mineral berasaskan nadir bumi tidak ditakrifkan sebagai hasil hutan, oleh itu ianya tidak boleh dikeluarkan dari kawasan Hutan Simpan Kekal.

Apabila timbul isu kecurian REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, penjelasan YAB Menteri Besar Kedah (Muhammad Sanusi Md Nor) semasa sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini dilihat tidak menunjukkan kesungguhan hendak menangani isu tersebut.

Mengapa pihak berkuasa negeri tidak mempersoal kepada dua agensi berkaitan iaitu Jabatan Perhutanan negeri (agensi yang mengurus dan mempunyai bidang kuasa terhadap Hutan Simpan Kekal) dan Menteri Besar Inc (anak syarikat Kerajaan Negeri yang diberi Permit Penggunaan bagi menjalankan aktiviti dalam Hutan Simpan Bukit Enggang)?

Adalah mustahil kedua-dua agensi tersebut langsung tidak mengetahui apa yang berlaku sedangkan ianya merupakan kawasan larangan bagi yang tidak berkenaan.

Perkara ini diketahui umum hanya selepas pihak media mendedahkan isu kecurian REE di Hutan Simpan Bukit Enggang.

Penduduk kampung berhampiran juga memaklumkan, aktiviti kecurian REE di Hutan Simpan Bukit Enggang menyebabkan sumber air mereka tercemar kerana majoriti penduduk masih menggunakan sumber air dari Hutan Simpan tersebut yang telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Perhutanan.

Kawasan sensitif tahap satu

Kenyataan menteri besar Kedah juga mengelirukan apabila menyatakan MB Inc mengesahkan bahawa sumber air dari kawasan kecurian REE tidak tercemar sedangkan agensi tersebut bukanlah agensi yang berautoriti dan berkelayakan mengesahkan sama ada sumber air tercemar atau sebaliknya.

Dalam isu perlombongan di Mukim Kenering, Perak, berdasarkan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) Cadangan Perlombongan Unsur Nadir Bumi di Perak pula adalah dikategori sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 (KSAS Tahap 1) dan Koridor Rangkaian Ekologi yang telah dikenal pasti untuk pemuliharaan dan perlindungan.

Malah, berdasarkan Rancangan Fizikal Negara (RFN), langkah pengurusan di KSAS Tahap 1 ialah tiada kegiatan pembangunan, pertanian dan pembalakan dibenarkan kecuali bagi tujuan pelancongan eko berimpak rendah, kegiatan penyelidikan dan pendidikan sahaja.

Kandungan laporan EIA cadangan perlombongan unsur nadir bumi di negeri Perak tersebut jelas menyatakan kerja-kerja tanah projek akan memberi impak sama ada secara langsung mahupun tidak langsung kepada kemusnahan habitat hidupan liar termasuk hidupan akuatik dan potensi kehilangan spesies hidupan liar.

Ini ditambah pula jumlah tempoh kerja-kerja melombong dijangka agak lama iaitu selama 12 tahun manakala tempoh kelulusan lesen melombong pula adalah terlalu lama iaitu sehingga 30 tahun.

Tempoh jangkaan melombong dan tempoh kelulusan melombong yang terlalu panjang, secara tidak langsung akan menyebabkan kemusnahan habitat yang boleh memberi impak penghapusan hidupan liar di kawasan tersebut.

Persoalan juga timbul bagaimana operasi perlombongan boleh dijalankan sebelum mendapat kelulusan Laporan EIA kerana berdasarkan semakan 'google map' dan gambar drone didapati telah ada kerja-kerja tanah dan struktur loji hidrometalurgi di lokasi cadangan projek.

Oleh itu, kami menggesa semua pihak berkuasa negeri akan mengambil tindakan menghenti dan tidak membenarkan lagi sebarang kegiatan yang berisiko impak seperti aktiviti perlombongan di kawasan Hutan SimpanK dan kawasan sensitif alam sekitar.

Kerajaan tidak harus mengutamakan keuntungan dan tidak mengendahkan kesihatan dan kesejahteraan manusia serta alam sekitar. Ekosistem sensitif mesti dilindungi dan tidak dirakus.


MOHIDEEN ABDUL KADER ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS