Hayati pesanan DYMM memerangi rasuah
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan institusi Raja-Raja Melayu merupakan satu entiti yang menjadi tonggak dan payung pada negara. Justeru, saya selaku warga Malaysia umumnya dan rakyat Terengganu khususnya, mengucapkan tahniah dan semoga semuanya selamat pada ke bawah duli Tuanku.
Umum mengetahui bahawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin merupakan seorang Sultan yang berdedikasi dan berjiwa rakyat. Kita sebagai rakyat Malaysia cukup percaya dan yakin pada karisma dan kepimpinan baginda.
Justeru, dalam titah sulung baginda pada perasmian mesyuarat pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-11 di Dewan Rakyat, yang menekankan mengenai soal integriti serta membanteras rasuah serta salahguna kuasa merupakan sesuatu yang patut diberi perhatian. Ini juga sebagai salah satu usaha dan langkah dalam menyokong penuh usaha Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.
Apabila perkara ini dibahaskan dan diambil cakna oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri, nyatalah isu dan perkara ini merupakan suatu isu berat lagi signifikan yang perlu ditangani bersama. Nyatalah usaha untuk menghapuskan rasuah bukanlah satu usaha yang mudah. Justeru, semua pihak wajib memberi kerjasama. Ini bermula dengan penyematan nilai integriti dan amanah bermula dari sekecil-kecil individu. Seterusnya barulah ia dapat dijelmakan ke dalam keluarga seterusnya mampu dijana ke tengah masyarakat.
Harapan baginda untuk melihat usaha pemupukan minda dan budaya membenci rasuah diperhebatkan agar warga Malaysia menjadi masyarakat berpendirian tinggi dan dihormati di dunia haruslah direalisasikan oleh kita semua sebagai rakyat yang menjadi payungan baginda. Bangsa yang bermaruah dan berhemah tinggi wajib menjadi agenda utama dalam diri setiap individu.
Jika ditinjau, kekuatan proksi sebagai sebuah bangsa berdaulat dari Timur amat membantu dalam aspek pemeliharaan maruah diri serta integriti dalam masyarakat. Kita tidak ingin lagi untuk mendengar desas-desus mengenai kes tergempar berkaitan dengan rasuah, malah ia turut melibatkan institusi yang diyakini dan diletakkan kepercayaan yang tinggi oleh rakyat.
Pembangunan modal insan sendiri perlu menjadi tapak yang kukuh dalam mencorakkan bangsa dan halatuju masa depan negara dan ummah. Seperti yang ditekankan oleh baginda, proses pembangunan modal insan berkualiti harus bermula dari peringkat usia muda lagi. Sistem pendidikan juga wajar ditingkatkan dan ditambahbaik dari masa ke semasa serta diberi perhatian yang khusus, selari dengan hambatan dunia serba moden tetapi dengan aspek kerohanian turut menjadi antara agenda yang utama dalam membantu mencorakkan modal insan yang kamil.
Selain itu, makna kebebasan dan kemerdekaan sebenar dalam kita menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-50 merupakan suatu gagasan yang perlu dihayati oleh semua khususnya bagi generasi muda.
Ini merupakan sesuatu harta yang amat bernilai dan tidak boleh dijelmakan dalam bentuk material. Justeru, golongan muda khususnya para mahasiswa selaku bakal pewaris negara haruslah menyambut dan berusaha menzahirkan harapan pimpinan negara ini dengan sambutan yang penuh semangat didasari oleh akar kefahaman yang kejap di dalam diri.
Penulis adalah Naib Yang Dipertua, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya .

