SURAT | Antara 1MDB, Jho Low dan Laut China Selatan
Sudah hampir 14 tahun sejak 1 Malaysia Development Board (atau lebih dikenali sebagai 1MDB) dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, sebagai sebuah badan pelaburan strategik bagi memacu pembangunan sumber serta hasil baharu melalui pemikiran dan idea pelaburan terkini.
Namun, hasrat yang diimpikan tidak kesampaian apabila 1MDB dibelenggu skandal penggubahan wang haram serta pelaburan tak beretika, didalangi oleh watak utamanya Jho Low, beserta watak-watak kameo terkenal seperti Leonardo di Caprio, Miranda Kerr, serta Putera Saudi.
Setelah lebih 5 tahun kemelut 1MDB dibawa ke muka pengadilan, mencemarkan nama Malaysia, menggulingkan pemerintahan Najib Razak dan Barisan Nasional serta pelbagai lagi implikasi tempatan, kini nama Jho Low kembali tular – dalang 1MDB tersebut yang ternyata masih bebas berlegar di sekitar Hong Kong dan Macau telah dituduh berkomplot dengan ejen perisikan China.
Laporan media Whalehunting Newsletter Edisi ke-761 oleh wartawan Amerika Bradley Hope melaporkan Jho telah mempergunakan kedudukan rapat dengan Perdana Menteri ketika itu untuk meruskan agenda infrastruktur China di Malaysia – dengan menandatangani pelbagai kontrak pembangunan seperti Malaysia China Kuantan Industrial Park (MC-KIP)2, laluan Rel Pantai Timur (ECRL)3, laluan Rel Berkelajuan Tinggi KL-Singapura (MyHSR)4, Mass Rapid Transportation (MRT)5, dan banyak lagi pelaburan terus yang dirunding – di samping mengaut keuntungan berbilion ringgit bagi campur tangan beliau dalam projek tersebut.

Yang lebih mengejutkan, Jho turut dikaitkan dengan isu pencerobohan Laut China Selatan yang cukup sensasi sepanjang tiga tahun lalu – setakat 2022, dilaporkan lebih 89 kali kapal perang China telah menceroboh masuk ke perairan Sabah dan Sarawak.
Sekiranya laporan media ini benar – maka yang turut terlibat adalah mantan Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.
Tidak hairanlah kenapa Hishamuddin kekal membisu dalam isu pencerobohan ini, walaupun telah berkali-kali diasak dan digesa untuk memberikan pernyataan dan pendirian negara berkenaan pencerobohan ini. Ini bukan isu kecil – sebarang bentuk pencerobohan di Laut China Selatan merupakan ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan negara, serta merisikokan kegiatan ekonomi serta sosial masyarakat Sabah dan Sarawak.
Sekiranya dakwaan ini sahih dan berasas, maka sewajarnya Kerajaan Perpaduan hari ini mengambil tindakan yang tepat dengan menubuhkan kertas siasatan Royal Commission of Inquiry (RCI) berkenaan penglibatan Jho Low dan Hishamuddin Hussein di dalam sebarang bentuk pencerobohan asing.

Sekiranya perlu, Bradley Hope selaku penulis laporan media WhaleHunting berkenaan harus dipanggil dengan sepina untuk mendedahkan dengan lebih lanjut mengenai penulisan beliau.
Usaha ini dapat menyumbang ke arah penangkapan Jho Low yang kini masih bebas sebagai pelarian, menamatkan kisah kronologi skandal 1MDB, memberi pencerahan kepada isu pencerobohan asing di Laut China Selatan, serta meletakkan Malaysia sebagai destinasi yang mengutamakan tadbir urus yang bersih dan berkesan, seriring dengan konsep Malaysia MADANI yang diketengahkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mana-mana kerajaan yang ditubuhkan tidak seharusnya mengenepikan perihal keselamatan dan kedaulatan negara, dan haruslah memelihara kemaslahatan rakyatnya dari sebarang ancaman atau anasir luar, baik dari sudut ekonomi, sosial mahupun politik.
Mana-mana pemimpin yang mengancam atau merisikokan keselamatan negara harus diambil tindakan yang sewajarnya, tanpa sebarang kompromi.
KHABIR I ialah seorang peguam NGO di Kuala Lumpur.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/07/e81d1b6231081f1392b84f91f6a2e2b2.jpg)
