Keadaan politik di Malaysia, terutamanya akhir-akhir ini, telah berkisar memilih gabungan politik yang kurang jahat berbanding yang lain, bukannya gabungan mana yang memang berhak mendapat udi. Ramai yang mengundi Pakatan Harapan (PH) berbuat demikian untuk menghalang Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) daripada memperolehi kuasa, bukannya atas sebab menyokong PH.

Kini, terutamanya selepas PH menerima BN sebagai rakan gabungan utamanya, malah bergerak pantas untuk memulihkan imejnya, sentimen dialihkan untuk menunjukkan gabungan PH-BN sebagai benteng menentang arus hijau PN. Sekali lagi, rakyat Malaysia terpaksa memilih gabungan yang kurang jahat, terutamanya apabila pilihan raya negeri akan datang kelak.

Kritikan sah terhadap dasar PH, daripada penghinaan terhadap komuniti LGBTQ+ kepada penelitian keterlaluan terhadap Mentega Terbang dan kini pengunduran dalam menyokong pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), di samping peningkatan konservatisme dalam Pakatan itu sendiri, ditepis oleh ancaman lembaga politik bernama PN.

Kita yang marah terhadap kes rasuah Muhyiddin Yassin terpaksa berdepan dengan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan pengaruhnya dalam Umno diperkukuhkan selepas pengecualian yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri (Saifuddin Nasution daripada PKR) untuk menghalang pertandingan dua jawatan teratas Umno.

Kita masih kekal dalam CPTPP, perjanjian perdagangan bebas yang akan menjejaskan tenaga-tenaga produktif tempatan terutamanya dalam sektor pertanian, dengan Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri (Liew Chin Tong dari DAP) menjustifikasikan CPTPP walaupun menghadapi tentangan daripada petani tempatan.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM), juga dikenali sebagai Akta Sakit Hati, masih terlalu besar interpretasinya, malah berpotensi untuk menyekat kebebasan bersuara.

Menteri Komunikasi dan Digital (Fahmi Fadzil dari PKR) pula menyatakan ia tidak disalahgunakan. Dalam hal ini, rakyat Malaysia harus berfikir seketika dan bertanya kepada diri mereka sendiri, apakah yang mereka inginkan daripada kerajaan PH-BN sekarang?

Kesemua ini kini dibenarkan untuk menghalang PN daripada berkuasa. Tetapi apakah gunanya kuasa ia tidak boleh digunakan untuk melaksanakan perubahan-perubahan yang perlu dan telah diperjuangkan sejak beberapa dekad lalu yang juga telah dijanjikan pemimpin dalam kerajaan itu sendiri?

Rakyat Malaysia ditegah daripada menanyakan hal ini melalui momokan kebarangkalian kewujudan kerajaan PN. “Tiada pilihan lain selain kita”, PH dan BN seakan-akan berkata. Menurut mereka, hanya ada satu cara rakyat Malaysia mengguna kuasa politik.

Ini adalah satu pembohongan. Tindakan politik tidak bermula dan berakhir dengan pilihan raya.

Rakyat biasa boleh menggunakan kuasa mereka melalui pelbagai kaedah, terutamanya dengan mengorganisasi diri dalam kesatuan-kesatuan dan kumpulan-kumpulan solidariti untuk mendesak perubahan yang diperlukan.

Kaedah yang paling berkesan sudah tentunya melalui kesatuan di tempat kerja mereka dan berunding dengan majikan untuk gaji dan keadaan kerja yang lebih baik.

Melalui organisasi sebegini, jika berlaku pertikaian, tindakan industri seperti mogok dan piket boleh dijalankan untuk memaksa majikan bertindak. Apabila tokoh-tokoh terkenal seperti Menteri Kesihatan (Dr. Zaliha Mustafa dari PKR) dan Ahli Parlimen Ipoh Timur (Howard Lee dari DAP) kelihatan suam-suam kuku dalam pandangan mereka terhadap tindakan mogok, adalah lebih penting bagi pekerja untuk mengatur diri mereka sendiri.

Selain daripada itu, individu-individu yang berkongsi fikiran yang sama harus bersatu dan membentuk rangkaian-rangkaian untuk memperjuangan hak mereka sendiri.

Rangkaian sebegini boleh berskala besar, contohnya persatuan petani di Malaysia boleh merangkumi ribuan individu dengan perpaduan mereka memberikan mereka kuasa yang besar untuk menuntut perubahan.

Persatuan-persatuan lain yang serupa, contohnya di kalangan penduduk flat kos rendah, pekerja ladang, pekerja tidak formal dan pelajar universiti juga boleh ditubuhkan. Dengan cara ini, rakyat Malaysia tidak perlu menunggu kitaran pilihan raya seterusnya atau bergantung kepada janji-janji wakil rakyat mereka semata-mata.

Pada kebanyakan masa, apa-apa yang dijanjikan tidak dilaksanakan kerana kurangnya tekanan daripada pihak-pihak yang terkesan. Perihal gaji, sebagai contoh, mendapat lebih banyak tekanan daripada para majikan sedangkan gerakan teratur yang serupa daripada para pekerja tidak wujud. Sekiranya rangkaian sedemikian wujud, walaupun kurang perhatian daripada kerajaan, tekanan secukupnya boleh diwujudkan supaya keperluan para pekerja didengari.

Inilah demokrasi, rakyat biasa dengan lantang dan tegas memperjuangkan keperluan-keperluan mereka, bukan sekadar berharap kepada janji-janji kosong ahli politik.

Di Parti Sosialis Malaysia, kami memperkasa rakyat marhaen dalam memperjuangkan hak diri mereka melalui pelbagai kaedah.

Paling utama, kami menganjurkan khalayak ramai melalui fron kami, Gabungan Marhaen. Dalam organisasi ini, kami mempunyai banyak kumpulan yang mewakili pelbagai sektor termasuk pekerja ladang, pekerja kontrak, penternak, pemandu lori dan perintis bandar.

Kami juga menyokong Kesatuan Kebangsaan Pekerja dalam Sokongan Hospital dan Perkhidmatan Bersekutu (NUWHSAS). Melalui gerakan rakyat ini, kami telah berjaya memenangi banyak kes untuk para marhaen dan memberi manfaat secara material kepada mereka dalam pelbagai cara. Hanya untuk para pekerja ladang sahaja, kami telah menggerakkan lebih 60 ladang di lima buah negeri dengan ratusan rumah dimenangi.

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia menyedari bahawa kebergantungan kita terhadap ahli politik yang bercakap manis, tidak kira betapa progresifnya mereka kelihatan pada mulanya, adalah strategi yang gagal. Saya ingin mengajak semua orang yang membaca untuk sertai kesatuan, atau jika tiada kesatuan untuk anda, buat kesatuan.

Sertai organisasi yang dipenuhi dengan individu-individu berfikiran sama untuk memperjuangkan hak anda.

Fahami bahawa politik bukanlah pertandingan populariti dan anda berhak memenuhi keperluan anda. Hanya jika kita mengatur diri kita dan terlibat secara aktif dalam prosiding-prosiding, boleh kita pastikan kita juga akan mendapat tempat duduk di meja bulat.

Jika tidak, 222 orang yang akan bercakap sesama mereka tentang siapa yang boleh mengendalikan rancangan negara untuk masa hadapan.



ARVEENT KATHIRTCHELVAN ialah Ketua Pemuda Sosialis Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.