SURAT | Jangan ranapkan MRSM
Sehari dua ini menyaksikan beberapa pemimpin Umno yang keras pertahankan cadangan untuk membuka Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar untuk golongan elit.
Ketika rakyat berdepan dengan kekangan kos sara hidup yang maha teruk, pemimpin Umno pula begitu selesa berbicara tentang kepentingan puak elitis di negara ini.
Cadangan Umno untuk memperkenalkan MRSM berbayar hanya akan mewujudkan kasta pendidikan dalam institusi MRSM itu sendiri.
Pendidikan yang baik adalah asas kepada masyarakat yang adil dan demokratik namun tindakan Umno yang hanya mengutamakan kepentingan golongan elitis ini hanya akan merugikan masyarakat melayu yang miskin dan sederhana.
Tahun ini sahaja MRSM menerima 73,134 permohonan dan seharusnya pemimpin-pemimpin Umno mencari jalan untuk meningkatkan bilangan MRSM di seluruh negara, menaik taraf MRSM yang sedia ada serta menambah dan baiki kemudahan MRSM untuk keselesaan guru dan pelajar.
Perdana menteri kerajaan madani tidak pernah lekang daripada memberikan perhatian kepada golongan miskin dalam pentadbirannya.
Tetapi apabila wujud kedegilan segelintir pihak yang mahu memuaskan keinginan golongan elitis ini maka segala hasrat dan niat murni perdana menteri untuk membantu golongan yang miskin ini bukan sahaja rosak tetapi menjadi bahan lawak.
Akses pendidikan swasta dan antarabangsa di negara ini sudah cukup luas buat golongan elit untuk pendidikan mewah anak-anak mereka lalu kerajaan tidak perlu untuk memesongkan tujuan dan matlamat asal penubuhan MRSM untuk sekadar memenuhi keinginan golongan elit ini.
Jika Umno berkeras juga mahukan MRSM berbayar untuk golongan elit, maka kerajaan yang wujud pada hari ini hanya buktikan bahawa madani hanya sekadar laungan palsu daripada sebuah kerajaan elit berpaksikan golongan elit.
Tolong jangan ranapkan institusi MRSM!
EDWIN MICHAEL ialah seorang pemerhati politik.
Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/09/e708d09449da05d6d632f6b556877590.jpg)
