SURAT | Pilihan raya negeri dan kepentingan memelihara pokok
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah pun mengadakan mesyuarat khas Rabu lalu untuk membincangkan tarikh penting pilihan raya di enam negeri membabitkan Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan.
Justeru, tarikh PRN pada kali ini tentunya memberi pelbagai reaksi kepada semua lapisan rakyat yang bakal mengundi calon calon pilihan mereka yang membabitkan parti politik tanah air yang sedia ada mahupun calon bebas.
Semua jentera parti yang bakal bertanding sudah bersiap awal dengan bahan kempen masing-masing membabitkan risalah, logo parti, bendera, gegantung dan banner saiz mega.
Kita bernasib baik kerana bahan kempen untuk sebaran umum ketika era ledakan media sosial mencapai tahap kematangan dengan pelbagai platform muncul dan mudah digunakan untuk melancarkan kempen parti masing-masing.
Namun, saban tahun petugas parti mengambil jalan mudah menggunakan paku–saiz 8 hingga 12 sentimeter–untuk menggantung bahan kempen sama ada poster, gegantung, bendera mahupun kain rentang bersaiz mega.
Jika diperhatikan, seusai pilihan raya, petugas parti yang sememangnya perlu menurunkan setiap bahan kempen, hanya memotong tali bahan kempen tanpa mencabut semua paku.
Maka selepas beberapa sela masa, banyak pokok sama ada di kawasan kampung, majlis perbandaran dan dalam bandar itu sakit dan beransur reput sebelum mati kekeringan.
Keadaan ini sungguh malang bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) di sesebuah bandar yang pada asalnya mengeluarkan modal untuk menanam pelbagai jenis pokok teduhan dalam kawasan selenggaraan masing-masing demi mencapai kelestarian bandar dan piawaian landskap keindahan PBT.
Saya mohon semua parti politik yang bakal bertanding mengharamkan penggunaan paku sebaliknya hanya menggunakan teknik ikatan seperti diamalkan warga Jepun dan negara maju lain.
Saya juga merayu pengarah pilihan raya membabitkan semua parti politik termasuk calon bebas menyahut seruan ini.
Selain itu, bagi menjamin langkah ini tidak terhenti setakat PRN atau pilihan raya umum, saya juga menyeru semua PBT di seluruh negara mengambil langkah lebih konkrit dengan memastikan setiap pokok dalam kawasan pentadbiran masing-masing tidak sewenang-wenangnya dijadikan tempat mudah menggantung bahan kempen mereka.
Saya mahu masyarakat Malaysia, bermula terbitnya siaran surat terbuka ini supaya sama-sama membuka mata betapa bahayanya persekitaran kediaman kita jika terdapat pokok sakit yang akhirnya tanpa kita sedari akan reput dan menyembah bumi lalu mendatangkan mudarat yang besar ke atas penduduk dan harta benda kita.
NASIR ABD WAHAB ialah penduduk Ayer Keroh, Melaka.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/03/ef940bfcc92ddbbf71dfb798a4efcae1.jpg)
