SURAT | Saya mengamati kenyataan yang dikeluarkan oleh Muhyiddin Yassin sewaktu pelancaran Jentera Pilihanraya PN Negeri Sembilan.

Ketika itu Muhyiddin memaklumkan dia sudah memulakan penternakan ayam penelur di kebunnya untuk kegunaan sendiri sebagai menyelesaikan bekalan telur.

Daripada kenyataan itu saya berasa hairan kerana amat jarang sekali Muhyiddin membuka pekung sendiri di dalam majlis atau ceramah politik.

Kita semua tahu bahawa semasa pemerintahan Muhyiddin selaku perdana menteri kelapan, hampir semuanya gagal termasuk cara mengendalikan krisis yang mengancam kesihatan dan ekonomi rakyat.

Bukan itu sahaja, dia malah secara terburu-buru sanggup menutup hampir semua sektor dalam tempoh yang lama sehingga berlaku impak buruk yang berganda kepada rakyat.

Semuanya didorong oleh ketakutannya mendapatkan keabsahan sebagai perdana menteri ketika itu.

Laporan Audit Negara pada 2021 membuktikan bawah inisiatif Muhyiddin dalam menguruskan sektor berkenaan adalah gagal. Matlamat Dana Jaminan Makanan dengan peruntukan RM190 juta tidak tercapai sepenuhnya manakala sebahagian daripada 1,248 projek masih dalam fasa pelaksanaan atau belum dimulakan hingga akhir 2021.

Ia juga menjejaskan sasaran pengeluaran hasil termasuk bekalan telur dan ayam.

Disebabkan kegagalan itulah negara menghadapi masalah bekalan telur dan ayam. Bayangkan ketika era Muhyiddin banyak inisiatif bagi industri penternakan ayam dan telur dihentikan.

Pada masa sama kos tetap penternakan terus melonjak, dan akhirnya penternak atau pengeluar terpaksa mengurangkan pengeluaran untuk menjimatkan kos.

Selepas kegiatan ekonomi dibuka, berlaku kejutan permintaan yang tinggi sedangkan pengeluaran atau bekalan masih rendah. Ia menyebabkan berlaku lonjakan harga.

Dengan inisiatif yang terhad ketika pandemik, ditambah pula dengan krisis antarabangsa seperti perang Rusia-Ukraine sektor terbabit semakin sukar untuk dipulihkan.

Saya tumpang bersimpati kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, kerana terpaksa mencuci 'dosa-dosa' Muhyiddin dan kabinetnya untuk memulihkan bekalan telur dan ayam.

Sedarlah wahai Muhyiddin, andalah punca kepada ketidaktentuan politik, ekonomi dan masa depan rakyat serta negara.

Langkah sumbing anda menyebabkan negara cacamarba dan tidak stabil. Bertaubatlah sebelum terlambat.


AMMAR ATAN ialah naib ketua Pemuda Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.