Most Read
Most Commented
Read more like this

Dalam kenyataannya baru-baru ini, Menteri Pengajian Tinggi telah menjelaskan bahawa kementeriannya sedang merangka untuk merombak kurikulum universiti. Pada hemat, ia amat wajar dan penting bagi memastikan kelulusan mahasiswa universiti tempatan sesuai dengan pasaran kerja.

Memang benar mahasiswa lulusan universiti agak kaku. Ini boleh dilihat pada suasana kampus hari ini. Acara hiburan mendahului dan mendominasi aktiviti mahasiswa, berbanding aktiviti yang mampu meningkatkan daya keintelektualan mereka.

Dengan ini secara tidak langsung mahasiswa hilang kreativiti berfikir kerana terlampau sarat dengan hiburan yang amat bertentangan dengan budaya intelektual. Budaya intelek membina mahasiswa yang rajin berfikir, membaca dan mengamati.

Manakala budaya hiburan pula membentuk mahasiswa yang malas berfikir panjang dan hanya suka bersantai sahaja. Bukanlah satu kesalahan apabila kita hendak berhibur namun tengoklah kadar hiburan yang mendominasi kita.

Mahasiswa perlu bijak memilih jenis hiburan. Dalam masa yang sama saya mengesyorkan pihak universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi menyediakan garispanduan aktiviti mahasiswa dengan menghadkan aktiviti hiburan kepada peratusan yang sesuai dan meningkatkan kemahiran komunikasi, sahsiah diri, keusahawanan dan keintelektualan.

Pemimpin mahasiswa, khususnya Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) amat perlu terkehadapan menganjurkan program mahasiswa yang mampu membina daya pemikiran yang kreatif dan kritis. Suatu masa dahulu dapat dilihat kepimpinan mahasiswa bijak mengatur program yang mencabar pemikiran seperti debat isu semasa, pidato tamadun dan sebagainya.

Bahkan terdapat banyak juga pemimpin mahasiswa yang terlibat secara langsung menjadi speaker dalam program tersebut. Namun agak malang, pada hari ini kita lihat kepimpinan mahasiswa agak lesu dalm menganjurkan program-program seperti itu.

Satu perkara lagi, pihak Universiti wajar mewujudkan 'speaker corner' atau lebih dikenali sebagai pusat pidato mahasiswa di kawasan umum. Ia bukan suatu yang baru dan pernah dibangkitkan sendiri oleh bekas Menteri Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Shafie Salleh. Namun saya selaku pimpinan mahasiswa agak kecewa dengan sikap yang acuh tidak acuh pihak universiti membuat perubahan tersebut.

Pusat pidato ini bukan sahaja memberi peluang kepada mahasiswa dalam berbicara di khalayak umum, bahkan turut meningkatkan kemahiran insaniah yang lain seperti kemahiran memujuk dan macam-macam lagi. Sepatutnya pihak berwajib perlu bersifat lebih terbuka dalam perkara ini. Mahasiswa yang berani meluahkan buah idea dan pengamatan mereka merupakan mahasiswa yang gagah dan matang apabila keluar dari alam kampus.

Akhirnya, saya mewakili Badan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) menyeru agar kementerian dan universiti sudi untuk membuat sedikit perubahan seperti yang dicadangkan demi masa depan yang gemilang mahasiswa negara. Sesungguhnya semua cadangan ini digagaskan semata-mata menyahut seruan Perdana Menteri kita dalam rangka meningkatkan modal insan di semua peringkat.

(Penulis adalah Timbalan Pengerusi, Badan Bertindak Mahasiswa Negara)

ADS