SURAT | Pemilihan parti perlu dilakukan apabila tamat penggal 2023-2026 tanpa sebarang penangguhan lagi. Ini bagi memastikan berlaku transformasi dalam barisan kepimpinan parti yang amat diperlukan ahli akar umbi dan orang melayu bagi persiapan menghadapi cabaran PRU16 nanti.

Dengan adanya muka baru yang akan mengambil alih pucuk pimpinan parti - baik di peringkat cawangan,bahagian mahupun pusat - ini akan memberi nafas baru kepada Umno.

Rakyat dan ahli akar umbi bukannya tidak sayang dan hargai jasa besar Umno pada orang melayu, tetapi perubahan segera perlu dilakukan supaya Umno dapat diterima semula oleh rakyat dan ahli akar umbi.

Bermula daripada keputusan PRU13 lagi sudah nampak penolakan Umno sehingga ke PRU14, dengan Umno tumbang buat pertama kalinya daripada menjadi kerajaan.

Beberapa isu serta skandal besar yang berlaku di kalangan pemimpin tertinggi Umno yang gagal diuruskan dengan baik telah menyebabkan kehilangan keyakinan rakyat dan ahli akar umbi, seterusnya Umno ditolak sehinggalah pada PRU15 dan PRN di enam negeri pada tahun lepas, dengan Umno ditolak secara total dan amat mengaibkan.

Peralihan kuasa perlu berlaku sebelum PRU16 jikalau Umno mahu kekal relevan dan mendapat semula keyakinan dan kepercayaan rakyat dan ahli akar umbi.

Jikalau permilihan ditunda selepas PRU16,saya yakin Umno akan mendapat keputusan yang lebih mengaibkan nanti dan akan menjadi lebih lemah. Untuk bangkit semula pasti akan menjadi terlalu sukar.

Ada yang memberikan alasan jikalau berlaku pemilihan sebelum PRU16, akan ada banyak pemimpin Umno dari pelbagai peringkat yang tewas akan mensabotaj parti. Saya hendak ingatkan, kalau pun semua 3.6 juta ahli Umno mengundi calon BN pada PRU16 nanti kita tetap tidak akan menang kerana ia tidak mencukupi. Ini kerana undi rakyat yang sebenarnya memainkan peranan penting kemenangan buat setiap parti.

Sebagai bukti, saya difahamkan keahlian PAS kurang dari sejuta namun mereka menang besar pada PRU15. Ini jelas membuktikan sokongan ahli sahaja tidak mencukupi ,sokongan rakyat yang bukan ahlilah yang menentukan kemenangan sesebuah parti itu.

Jesteru itu, tiada alasan yang munasabah untuk Umno menangguhkan lagi pemilihan sehingga selepas PRU16. Ia perlu dilakukan pada tahun 2026 supaya Umno boleh dibaik pulih dan seterusnya dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat.

Akhri sekali, saya hendak ingatkan kepada pemimpin parti, jika benar-benar sayangkan Umno janganlah mengheret parti dengan masalah peribadi sehingga membebankan parti dan menyebabkan ia ditolak rakyat.


SYED ROSLI JAMALULLAIL adalah ketua Umno Cawangan Pandan Tengah dan AJK Umno Bahagian Pandan.

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.