SURAT | Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyatakan sokongan penuh terhadap iltizam Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam memperkasakan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Dalam ucapan yang disampaikan pada Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia di Putrajaya, perdana menteri memaklumkan bahawa proses pindaan RUU355 sedang berlangsung dan kerangka awal akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada bulan Ogos ini.

Selain itu, perdana menteri turut menekankan kepentingan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak, termasuk pakar perundangan syariah dan sivil di peringkat antarabangsa, bagi menjamin pindaan RUU355 ini diteliti secara terperinci dan holistik untuk mencapai matlamat keadilan dan saksama dalam meningkatkan bidang kuasa bagi kesalahan Syariah di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Maka, usaha ini mencerminkan komitmen teguh perdana menteri dalam memartabatkan Mahkamah Syariah di era pentadbiran Malaysia Madani. Sekali gus, ia juga dapat

menamatkan polemik agama berkaitan RUU 355 yang sebelum ini diguna pakai oleh pihak parti pembangkang.

Menyahut seruan perdana menteri, AMK melalui Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama akan mengadakan beberapa inisiatif program penerangan dan pencerahan berkenaan RU355 untuk memberikan pemahaman yang jelas dan mendalam kepada rakyat Malaysia.

Akhir kata, AMK menyeru semua pihak untuk menyokong usaha murni dan iltizam perdana menteri ini demi kebaikan bersama dan kemajuan sistem perundangan syariah di Malaysia.


ASHRAF HADI adalah ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama AMK

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.