Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Persoalan larangan aktiviti hiburan di Kelantan

SURAT | Pertubuhan Pemikir Azam Kelantan (Azam Kelantan) maklum dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah, berkenaan larangan aktiviti hiburan pada malam Jumaat baru-baru ini.

Azam Kelantan berpandangan tiada sebarang masalah dengan isu tersebut kerana ia bertepatan dengan kerukunan masyarakat Kelantan yang inginkan suasana aman pada waktu malam.

Lagi pun, rakyat Kelantan mempunyai pelbagai cara untuk mendapatkan hiburan tanpa perlu kepada acara pentas sama ada kecil mahu pun besar.

Pun begitu, Azam Kelantan ingin mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci daripada kerajaan negeri iaitu:

1. Bagaimanakah kaedah untuk orang awam melakukan aduan sekiranya menemui aktiviti hiburan yang bercanggah dengan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Kelantan 1998?

Sekiranya aktiviti hiburan dilarang pada malam Jumaat, beberapa aktiviti dikir barat sama ada secara pertunjukan atau secara latihan beberapa kali dilihat berlaku dan melibatkan tempat terbuka. Contohnya di wakaf di tepian jalan.

2. Pihak manakah yang akan melakukan serbuan atau tindakan menghentikan aktiviti hiburan yang didapati menyalahi enakmen tersebut?

Seperti yang pernah berlaku dalam Konsert Loy Kratong di Bachok pada 25 Nov 2023, tidak ada sebarang serbuan atau tindakan menghentikan konsert tersebut dibuat setelah diketahui ada artis berpakaian mencolok mata.

3. Berapakah had keamatan bunyi dalam unit desibel (dB) yang dibenarkan untuk sebarang aktiviti kebudayaan agar pencemaran bunyi tidak berlaku?

Sebagai contoh, beberapa acara konsert yang berlangsung di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung, keamatan bunyinya boleh didengari sehingga ke Kampung Kota atau dalam radius 1km.

Ini bermakna penduduk yang berada di kawasan berdekatan menerima pencemaran bunyi.

4. Berapa lama tempoh masa yang ditetapkan oleh kerajaan Kelantan untuk mengambil tindakan ke atas pelanggaran Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Kelantan 1998?

Penetapan prosedur operasi standard (SOP) amatlah penting bagi memastikan garis masa untuk kerajaan negeri mengambil tindakan ke atas pelanggaran enakmen berkenaan.

Berapa hari yang diperlukan untuk melakukan siasatan? Pihak mana yang akan menjalankan siasatan dan berapa hari untuk tindakan selanjutnya akan diambil?

5. Adakan garis panduan khas untuk acara hiburan di rumah ibadat bukan Islam? Dalam enakmen yang dimaksudkan, tidak ada garis panduan khas untuk acara yang berlangsung di rumah ibadah bukan Islam.

Bagi mengelakkan polemik yang pernah berlaku dalam konsert Loy Kratong, garis panduan khas perlu dinyatakan agar dapat memberi ruang kepada rakyat Kelantan yang bukan beragama Islam melangsung acara hiburan di premis mereka.

Penjelasan daripada kerajaan Kelantan amat penting kerana sehingga kini pelanggaran Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Kelantan 1998 berlaku akibat kelemahan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa negeri.

Keadaan itu sekali gus memperlihatkan enakmen berkenaan sekadar menjadi satu tulisan undang-undang tanpa penguatkuasaan berkesan di lapangan.

Semoga kerajaan Kelantan dapat menampilkan penjelasan berkenaan isu yang kami bawa.


NIZAM MUHAMAD ialah penyelaras Azam Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS