Saya merujuk kepada surat Penguasaan bahasa keperluan pasaran .

Saya tidak bersetuju dengan pandangan penulis yang menggunakan lesen kebebasan, globalisasi, dan 'liberal' untuk berbuat sewenang wenangnya manakala peraturan dan undang undang diketepikan. Ini satu keadaan salah-erti dan salah-faham yang perlu diperbetulkan.

Keperluan pasaran boleh disesuaikan dengan keadaan semasa yang melingkunginya seperti dasar dan polisi kerajaan yang ada pada masa itu. Dan ini tidak boleh dianggap sebagai 'dasar perkauman yang sempit'. Ia perlu juga dilihat daripada pandangan kenegaraan (misi nasional) dan aspirasi negara.

Syarikat swasta bebas dan berhak berbuat sesuatu tetapi ini tidak beerti sektor itu boleh bertindak tanpa hak dan batasan hingga mengabaikan tanggungjawab dan peraturan yang sedia ada. Tidak perlulah keadaan ini sehingga tanggungjawab kepada bahasa kebangsaan yang perlu diberi keutamaan diabaikan. Inikah sikap profesionalisme yang kita kehendaki?

Kita perlu berfikiran luas tetapi tidaklah hingga mengabaikan keperluan dan kepentingan jati diri negara kita sepenuhnya. Memang benar semua bahasa bukan milik satu satu kaum sahaja tetapi tidak perlulah kita meletakkan bahasa lain secara yang tidak wajar. Meletakkan kepentingan bahasa negara bererti meletakkan bangsa itu pada tempat yang sewajarnya.

Sebagai warga Malaysia, isu ini sewajarnya tidak dianggap sebagai isu 'perkauman yang sempit' tetapi ia perlulah dilihat sebagai sesuatu yang wajar atas nama misi nasional dan jati diri negara.

Sepatutnya kita patut lebih bimbang tentang jumlah rakyat Malaysia yang begitu ketara yang tidak tahu berbahasa Malaysia. Yang lebih parah, amat ramai rakyat yang tidak mahir bahasa berbanding yang mahir berbahasa.