Penyokong BA hempas 'botol susu'
Penyokong pembangkang macam kanak-kanak belum akil baligh yang merajuk menghempas botol susu gagal mendapat barangan yang diminta.
Tiap-tiap minggu yang tidak ada idea baru ini, akan berjaya mencari satu alasan untuk piket, demonstrasi, mogok, tunjuk perasaan dan macam-macam lagi.
Baru seminggu dua yang lepas PAS tunjuk perasaan di Kementerian Kewangan untuk isu pembayaran wang ehsan.
Sekarang ini pula, nak berdemonstari di hadapan hospital apabila pihak penjara tidak membenarkan keluarga Anwar Ibrahim melawat beliau sekerap yang mereka mahukan.
Ezam minggu lepas memberikan tempoh kepada kerajaan sehingga Isnin depan untuk menarik larangan tersebut. "Jika tidak, kita akan kerah lebih ramai orang ke sini (untuk berhimpun seperti hari ini)," ugut Ezam.
Tolonglah! Lukiskan batasan kepada sikap taksub anda semua. Ini adalah kawasan hospital. Tolonglah ingat bahawa di hospital, terdapat banyak lagi pesakit-pesakit yang lebih teruk dari wira kesayangan anda semua.
Ada mereka yang menunggu maut sakit kanser, ada yang baru lepas kemalangan, ada yang baru menerima berita kematian, dan apa yang anda fikirkan adalah wira dan diri anda. Sakit, derita, sengsara orang lain tidak penting - hanya kewujudan anda yang penting di dunia ini.
Anwar dikatakan telah menghentikan bantahan kerana anggota keluarganya telah dibenarkan melawat petang Rabu lalu. Ini secara terang-terang adalah satu taktik kotor dan anda sepatutnya merasa malu dengan diri anda!
Hentikanlah sikap tidak rasional dan mementingkan diri ini. Mungkin terlalu banyak untuk diminta bagi anda menghormati undang-undang. Adakah persoalan mengenai Anwar Ibrahim patut mendapat layanan yang begitu istimewa?
Mungkin undang-undang yang anda kenali hanyalah undang-undang yang direka oleh anda sendiri dan dicop sah oleh saudara Anwar Ibrahim. Bagaimanapun, hormatilah perasaan orang lain.
Kalau demonstrasi diadakan di Dataran Merdeka, masih boleh hindari, tapi di hospital.... Hanya itu sahajalah jalan masuk ke wad kecemasan!
Cukup-cukuplah...jangan pentingkan diri sendiri sehingga tidak mengenal batas, tidak mengira masa, tempat dan perasaan orang lain. Nanti anda pula yang mendapat rawatan pakar sakit jiwa!
Anti-demonstrasi
Kuala Lumpur


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.