Malaysiakini telah memberi satu ledakan baru dalam dunia persuratkabaran Malaysia dan sekaligus menganjak ke satu lagi tahap dalam membuka ruang yang lebih besar kepada karyawan dan pembaca.

Malaysiakini dalam masa setahun bukan lagi satu alternatif tetapi bersifat perdana di Internet. Satu kejayaan yang mengatasi rekod akhbar lain yang mungkin telah lama wujud dalam dunia ekonomi lama dan kini sama ingin menembusi ruang eknomi baru (dengan pendukung veteran dan pemikiran lama).

Sejak Ogos 1998, pelbagai laman web reformasi boleh dianggap sebagai ledakan pertama ke arah penyebaran maklumat alternatif untuk mengimbangi akhbar arus perdana, yang sehingga kini berterusan menjadi lidah rasmi parti pemerintah dan tidak lagi berwibawa membawa rakyat ke alaf baru.

Ledakan itu bersama kemunculan pelabagai e-mailing list reformasi boleh juga dianggap memberi satu anjakan kepada Bahasa Melayu untuk tumbuh bagai cendawan dalam dunia siber.

Kerana itu usaha malaysiakini dalam menerbitkan berita dan artikel dalam Bahasa Melayu boleh dianggap sebagai mengiktiraf kehadiran bahasa kebangsaan itu sebagai bahasa komunikasi yang merentas ruang.

Biarpun mungkin (secara rambang) pembaca malaysiakini kebanyakannya berbahasa Inggeris. Sebagai bahasa utama, dari golongan menengah, professional dan berpradigma baru, usaha memperbanyakkan artikel dan kolum dalam Bahasa Melayu mesti terus giatkan.

Setidak-tidaknya untuk isu yang menyentuh sastera dan budaya walaupun isu politik terus menguasai minat pembaca.

Harapan yang tinggi buat malaysiakini datang dari pelbagai golongan pembaca yang tentunya juga mempunyai belbagai citarasa dan demografi yang berbeza.

Melihat jauh ke hadapan, malaysiakini sebagai akhbar perdana Internet boleh mengubah senario lama dalam kebiasaan akhbar perdana bercetak lama yang mengekalkan tradisi tanpa sebab (mungkin kerana mahu selamat atau terus bernostalgia).

Umpamanya, bahan-bahan bersumber sastera tempatan yang bersifat Malaysia dari karyawan generasi baru boleh diketengahkan dalam bentuk cerpen dan puisi. Siaran artikel sebegini tidak semestinya untuk versi hujung minggu seperti kebiasaan, tetapi harian.

Ini akan memberikan satu lagi dimensi dan pendekatan untuk karyawan yang datang dari golongan sasterawan seperti cerpenis dan penyair. Mereka juga adalah sebahagian dari penggerak tamadun.

Kesimpulannya, ekonomi baru telah banyak melihat jatuh bangun model bisnes yang merubah senario dunia. , Malaysiakini, adalah salah satu dari model tempatan (buatan Malaysia atau Malaysia Boleh) yang berjaya dan secara keseluruhannya, sastera di Malaysia masih belum dianjak oleh pendekatan agresif, berbeza dan mendahului zaman.

Saya kira malaysiakini boleh memainkan peranan itu!