Definisi kebebasan akhbar
Saya terpanggil untuk turut sama mengulas tulisan penulis malaysiakini , Zakiah Koya yang memberi gambaran sungguh buruk terhadap kami - wartawan media arus perdana (The duty of journalists, Dec 7).
Tulisan Jacqueline Ann Surin sebenarnya, sudah memadai untuk menjawab pandangan serong yang dibuat oleh Zakiah itu (Unfair comment on journalists, Dec 8).
Saya cuma ada satu soalan (jika boleh ia diistilahkan sebagai soalan): Bagaimanakah kumpulan wartawan, misalnya Kami (Kumpulan Aktivis Media Independen) mendefinisikan 'kebebasan akhbar'?
Apakah:
1) Apabila akhbar arus perdana tidak menyiarkan berita mengenai pembangkang, atau dilihat tidak melaporkan perkara benar mengenai pembangkang - maka telah berlaku ketidak adilan dan tidak wujudnya kebebasan sebenar pada akhbar arus perdana?
2) Apabila media pembangkang i.e. Harakah , malaysiakini dan 'hate website' menyiarkan berita pembangkang sahaja atau berita yang memenangkan pembangkang saja, media alternatif (kononnya) itu telah mengamalkan kebebasan akhbar sejati, tulen dan suci?
3) Media dan wartawan alternatif memenuhi maksud 'universal press freedom' yang tidak dikuasai oleh kepentingan politik puak tertentu? Kerana jika sebaliknya, berita di dalam media itu sepatutnya seimbang dan sama rata. Kritik kerajaan dan juga kritik pembangkang. Bukan kritik kerajaan sahaja bermakna menunaikan kebebasan akhbar!
4) Ramai wartawan arus perdana meninggalkan kerjaya mereka kerana tidak puas hati dengan soal kebenaran dan keadilan? Tunjukkan statistik, kemukakan bukti.
Dalam pengetahuan saya, ramai rakan-rakan wartawan arus perdana yang meninggalkan syarikat mereka disebabkan kegawatan ekonomi 1997-1999. Di New Straits Times , Berita Harian dan TV3 misalnya, syarikat itu terpaksa melepaskan pekerjanya kerana gawat. Ada yang tidak mendapat kenaikan tahunan dan elaun serta insentif lain juga dipotong. Kerana ini, mereka nekad meninggalkan sementara karier ini untuk kerjaya lain.
Benar memang ada beberapa kerat wartawan yang terpengaruh dengan suasana politik. Itu pun kerana semenjak di universiti mereka telah aktif dalam pertubuhan seperti Abim. Saya boleh tunjukkan wartawan yang saya maksudkan itu.
Dan memang benar juga, sesetengah wartawan arus perdana menyokong kewujudan malaysiakini (termasuk saya). Tetapi dengan bentuk penulisan Zakiah, Fathi Aris Omar dan mana-mana lagi penulis yang merasakan dirinya sangat layak mengutuk profesionalisme wartawan - saya rasa, sokongan itu akan berkurangan.
Saya rasa dihina dan dikecewakan oleh tulisan Zakiah. Lainlah kalau ia datang daripada Pak Samad Ismail - tokoh wartawan negara yang mungkin boleh juga saya dan rakan-rakan telan juga walaupun pahit.

