Di mana silap Umno?
Membuka pekung di dada, kata sebahagian daripada mereka. Namun jauh di lubuk hati mereka siapa yang tahu ada yang menyumpah, ada yang cemburu dengan keberanian Shahrir Abdul Samad dan ada yang keliru jalan mana yang harus dituju.
Sepuluh tahun dahulu anak muda berlari membawa sepanduk bukan kerana wang amat sukar sekali, paling tidak pun sebungkus nasi, topi dan kemeja-T berlogo Umno. Tapi hari ini ada yang lebih muda berlari dengan sepanduk buatan sendiri tanpa nasi lemak, tanpa RM50, tanpa kemeja-T dan pelbagai sogokan lain yang kian lama menjadi tradisi di dalam Umno.
Di mana silap kita sehingga pemandangan sebegitu hanya dapat dilihat di khemah pembangkang? Bulan lalu genap umur saya 24 tahun tetapi semakin hari semakin jauh rasanya saya dengan Umno.
Mengakui saya ahli Umno bagaikan mahu hilang rakan lama dan menepis taulan yang baru, 10 tahun dahulu orang PAS bagai orang asing di pejabat-pejabat kerajaan tetapi hari ini orang Umno yang keseorangan, di mana silapnya (sudah terang lagi bersuluh)?
Dua tahun lalu ketika saya di Manchester saya diajukan satu soalan oleh peniaga kedai runcit berbangsa Ireland, "Mahathir, is he a king? 'Cos he's been there for ages ." Soalan ini masih terngiang di kepala saya. Soalan yang menunjukkan kelemahan Umno di dalam melahirkan 'successor' ( if he's really a successful leader ).
Mohd Shahrul Azmi

