Demo Mahfuz tidak demokratik
Biar bagaimamana suci niat saudara Mahfuz Omar untuk membela rakyat Palestin dan mengutuk kaum Yahudi, fakta yang ada beliau kini sudah bergelar seorang banduan dari penjara Kajang.
Sebagai seorang yang tidak terlibat dalam mana-mana parti politik atau boleh digelar NGI (non-governmental individual), saya melihat tindakan Mahfuz untuk menunjuk perasaan kerana kehadiran pasukan kriket Yahudi sebagai tindakan tidak demokratik.
Saya hairan bagaimana DAP dan PRM serta Keadilan boleh bersekongkol dengan tindakan Mahfuz, kerana pasukan kriket itu adalah pemuda Israel yang hanya terlibat dalam bidang sukan.
Orang Yahudi juga adalah manusia. Mereka juga makhluk Allah. Sama seperti anak haram dalam agama Islam, mereka sebenarnya adalah bersih daripada dosa 'ibu bapa' mereka.
Jika kita tidak setuju dengan keseluruhan dan kuasa negara Israel, ya, saya turut menyokong, tetapi tidak kepada semua orang Yahudi. Memang mereka menganiaya orang Palestin. Dalam konteks penganiayaan, bukan sahaja Yahudi yang boleh kita marah tetapi kepada sesiapa sahaja hatta Anwar Ibrahim, Nik Aziz atau Haji Hadi, yang melakukan perbuatan yang bercanggah dengan nilai peri kemanusiaan,
Ketika belajar di UK, ramai kawan saya berbangsa Yahudi. Banyak juga di kalangan mereka lebih baik daripada orang Islam di negara ini - dari segi akhlak, budi pekerti dan disiplin hidup.
Dalam konteks negara dan bangsa Yahudi keseluruhan, saya fikir kita sebagai bangsa Malaysia dan juga bangsa Palestin perlu kembali mempelajari ilmu dan mendalami ilmu sehingga terhasilnya teknologi masa depan di tangan kita.
Bercakap atau berdemonstrasi atau menembak orang Yahudi menggunakan batu tidak memberi kesan yang sepatutnya. Kita perlu mencipta teknologi baru. Kita perlu banyak belajar.
Tidak ada masyarakat dunia akan berbangga atau berterima kasih kepada kita, jika kita asyik berceramah, berdemonstrasi atau bercakap - yang penting kita menyumbang sesuatu ciptaan teknologi baru kepada manusia sejagat.
Oleh itu, saya menganggap tindakan Mahfuz bukan sahaja bodoh, tetapi ia memancarkan kemalasan rakyat terhadap ilmu dan sumbangan ikhlah kepada manusia sejagat lain.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.