SURAT | Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) bersetuju untuk menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, semangat asal penggubalan URA ialah untuk menangani risiko keusangan dan kemerosotan kawasan bandar memandangkan sehingga kini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenal pasti 139 tapak bangunan terbiar dan tergendala.

Katanya penggubalan URA akan membantu pembaharuan bandar berlaku dengan lebih pantas memandangkan Malaysia ketinggalan beberapa dekad berbanding dengan negara lain.

Penggubalan URA juga akan membantu pembangunan negara memandangkan ia bakal menjana nilai pembangunan kasar berjumlah RM355.5 bilion.

URA bakal menyaksikan persetujuan sepenuhnya (100 peratus) daripada penduduk jika ingin membangunkan semula sebuah bangunan yang usang dan daif pada masa kini menjadi 80 peratus untuk bangunan yang berusia kurang daripada 30 tahun, dan 75 peratus untuk bangunan yang berusia lebih 30 tahun.

Malah penggubalan akta tersebut bakal memberi kuasa kepada KPKT mewujudkan ambang persetujuan 51 peratus bagi bangunan yang tidak lagi selamat untuk didiami serta bangunan yang terbengkalai.

Namun usaha murni kerajaan melalui KPKT itu ditentang oleh PAS dalam muktamar mereka di Temerloh, Pahang pada Sept lalu atas alasan untuk mempertahankan kepentingan pemilikan ekuiti dan tanah orang Melayu.

Kerisauan tidak berasas cuba dimainkan oleh Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Ahmad Amzad Hashim, dengan mendakwa URA menindas golongan majoriti Melayu bandar.

Sepatutnya isu ini tidak berbangkit memandangkan KPKT telah membangunkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DPMMN) yang menjamin golongan tidak berkemampuan - terutama dalam kalangan bumiputera - untuk mendapat loan to value (LTV) sehingga 110 peratus.

Malah berasaskan corak perolehan perumahan (housing turnover) di Malaysia, didapati transaksi rumah berharga bawah RM250 000 adalah pada kadar 84.3 peratus pada 2016.

Jumlah tersebut membuktikan bahawa pembeli rumah kali pertama terutama dalam kalangan bumiputera sentiasa ada tempat dalam projek-projek perumahan baru di Malaysia.

Kerisauan lain yang dibangkitkan adalah melibatkan isu pelanggaran hak milik dan penindasan kepada akta-akta sedia ada.

Perlu difahami tujuan sebenar KPKT mengusulkan agar URA digubal adalah supaya tidak berlaku pelanggaran atau penindasan terhadap akta sedia ada.

Jika akta tersebut tidak digubal maka proses pembaharuan bandar di Malaysia akan terus perlahan dan sebarang langkah drastik untuk mempercepatkan proses tersebut akan bercanggah dengan URA yang belum digubal dan ditambah baik.

Penggubalan URA juga akan melalui proses tambah baik melalui libat urus peringkat kementerian dan perbahasan di parlimen. Justeru sebarang pelanggaran atau penindasan terhadap akta sedia ada pasti dapat diperbetulkan melalui proses tersebut.

Kerisauan terakhir adalah melibatkan kesan sosial. PAS bimbang jika URA dibenarkan maka keberadaan dan pemilikan semasa hartanah dan ekuiti orang Melayu khususnya dalam kawasan bandar akan berkurangan.

Isu ini juga tidak berbangkit memandangkan setiap pembangunan perumahan yang diluluskan oleh kerajaan negeri telah diperuntukkan kuota jualan untuk bumiputera.

Di Selangor contohnya, pada 2015 kerajaan negeri telah membentangkan bahawa kuota jualan perumahan bumiputera yang dikenakan kepada pemaju adalah antara 30 peratus hingga 70 peratus, berdasarkan garis panduan sedia ada dan kelulusan majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Keadaan ini memastikan golongan bumiputera akan sentiasa ada peruntukan dalam projek-projek perumahan di kawasan bandar.

Seharusnya penggubalan URA yang sedang diusahakan KPKT disokong penuh kerana ia bakal membantu mempercepatkan proses pembaharuan bandar di Malaysia.

Langkah menggunakan hujah perkauman bagi mengkritik penggubalan akta berkenaan adalah usaha terdesak bagi meraih sokongan politik.

Jika benar ada kelompongan dalam URA, PAS seharusnya membawa hujah secara konstruktif dan cadangkan pelan pembaharuan bandar yang lebih mampan.


MOHD FAUZI FADZIL ialah Pengarah Komunikasi Pemuda PKR Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.