Armada Bersatu dikejutkan dengan berita empat anggota Malbatt 850 yang bertugas bawah Pasukan Tentera Sementara PBB di Lubnan (Unifil) mengalami kecederaan akibat terkena serpihan letupan serangan Israel ketika sedang melalui sekatan jalan.

Armada ingin menegaskan bahawa sayap ini mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim Israel yang menyerang melalui dron yang mengakibatkan kecederaan kepada pasukan pengaman dari Malaysia (Malbatt 850). 

Tugas pasukan Malbatt 850 yang dihantar ke Lubnan adalah untuk memulihkan keamanan di kawasan yang lama ditimpa musibah.

Tindakan ini sangat tidak berperikemanusiaan dan berpotensi untuk meningkatkan ketegangan bukan sahaja di negara Lubnan tetapi di seluruh dunia yang sedang mengikuti kerakusan kuasa Israel. 

Armada juga berharap agar kuasa-kuasa besar mempertimbangkan untuk melaksanakan sekatan ekonomi dan diplomatik ke atas mana-mana negara yang aktif mengugat ketenteraman dunia.

Armada juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan perubatan Lubnan yang memberi rawatan pantas kepada anggota-anggota Malbatt 850 di lokasi kejadian. 

Sayap ini juga berharap agar Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Luar Negeri memantau situasi dan tahap keselamatan anggota Malbatt 850. 

Akhir sekali, sayap ini mendoakan kesejahteraan semua anggota Malbatt 850 dan mudah-mudahan niat murni delegasi ini akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.


HARRIS IDAHAM RASHID ialah exco Armada Bersatu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.