GPMS dan Suhaimi Ibrahim sudah hilang akalkah? Amat menyedihkan setelah lebih 40 merdeka masih ada pihak yang mahu memainkan api perkauman.

GPMS tidak perlu mengikut rentak Suqui (kalau betul persatuan itu tersilap). Apa untungnya membuat 1,001 tuntutan Melayu jika ia sekadar gimik politik dan menimbulkan ketegangan kaum di negara ini?

GPMS jangan cuba menjadi hero Melayu terakhir dengan cara menangguk di air keruh. Tidakkah GPMS dan presidennya sedar tindakan mereka itu akan membuatkan orang bukan Melayu lebih menjauhi Barisan Nasional dan Umno?

Tidakkah Suhaimi tahu bahawa tindakan Naib Ketua Pemuda Umno, Abdul Aziz Sheikh Fadzir berdemo di depan Dewan Perhimpunan Cina Selangor adalah satu sebab urtama mengapa BN kalah di Lunas? Mungkin Suhaimi tidak turun berkempen di sana. Untuk pengethuan GPMS dan presidennya poster Aziz memarahi wakil Suqui di dewan tersebut telah ditampal di seluruh kawasan pengundi Cina dan ini menyemarakkan lagi kemarahan mereka kepada Umno dan BN.

Adakah GPMS mahu perkara yang sama berlaku dalam pilihan raya kecil atau pilihan raya umum akan datang? Ingatlah tindakan yang agresif yang mengikut emosi hanya akan 'backfire'.

Kalau benar GPMS menganjurkan perhimpunan di seluruh negara dan kemudian berlaku kejadian yang tidak diingini, sanggupkah Suhaimi bertanggungjawab? Adakah GPMS dan kepimpinannya mempunyai keberanian sebagaimana Mahfuz yang sanggup ke penjara?

Kita bimbang kalau berlaku insiden yang tidak diingini, kerajaan dan GPMS akan lepas tangan, yang jadi mangsa ialah orang lain - tentunya pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif sebagaimana yang terjadi pada tahun 1987 dulu.

Seperkara lagi Suhaimi dan GPMS harus ingat bahawa tindakan berhimpun di seluruh negara atau di Stadium Bukit Jalil tidak mungkin menyelesaikan masalah rayuan Suqui itu.

Untuk apa Suqui menarik balik rayuanya secara paksaan kalau bara ketidakpuasan hati masyarakat Cina tidak padam? Bagaimana kalau bara ketidakpuasan itu berlanjutan dan diletupkan pada pilihan raya umum 2004? Tidakkah kekecewaan di Lunas akan berulang?

Tidakkah Suhaimi nampak kesan politik dari tindakan bodoh dan emosionalnya itu? GPMS janganlah menjadi alat kepada presidennya ghairah mahu membodek Dr Mahathir Mohamad dan kepimpinan Umno dengan harapan akan terpilih menjadi YB sekali lagi pada tahun 2004 atau sekurang-kurangnya dilantik sebagai senator.

Saf kepimpinan GPMS jangan tersilap langkah. Peranan GPMS bukannya untuk menjadi "pressure group" seperti Suqui. Dengan cara menghimpun 1,000 pelajar untuk mendengar fitnah mulut celupar Perdana Menteri di masjid Putrajaya bukanlah cara terbaik untuk memenangi hati golongan muda.

Ingatlah kemarahan yang dilawan dengan kemarahan hanya akan membawa kepada kehancuran. Sekarang dapat kita buktikan siapa sebenarnya yang memainkan api perkauman - GPMS/Umno atau Barisan Alternatif. Keputusan pilihan raya Lunas membukti tembok perkauman boleh diruntuhkan dengan adanya persefahaman, keadilan dan keikhlasan antara kaum.

Hentikahlah sandiwara ini, wahai GPMS dan Suhaimi.