Setelah membaca surat pembaca yang bertajuk [#1](Demo Mahfuz Tidak Demokratik, Dis 12)[/#] saya merasa terpanggil untuk menjawab segala apa yang diulas oleh saudara Ahmad Sophian dari Port Klang.

Untuk pengetahuan Ahmad Sophian saya juga tidak terikat dengan mana-mana parti politik sama ada parti politik pemerintah mahupun pembangkang.

Saya untuk pengetahuan saudara Ahmad Sophian hanyalah seorang pekerja am di Pejabat Pos Besar, Kuala Lumpur. Saya amat tidak bersetuju sekali dengan pandangan Ahmad Sophian bahawa kerana apabila dia mengatakan begitu sahaja jelaslah beliaulah yang tidak demokratik.

Mengapa saya mengatakan begitu adalah kerana "demokrasi tulen" menghalalkan sesiapa sahaja untuk berhimpun secara aman dan menyatakan bantahan secara terbuka.

Dalam kes Mahfuz, pada pandangan saya, beliau mempunyai hak untuk berdemonstrasi menentang kemasukan pasukan kriket Israel pada tahun 1997. Demonstrasi ini menentang negara Israel dan tidak semestinya mereka menentang seluruh bangsa Yahudi.

Walaupun pasukan kriket Israel itu hanyalah sebuah pasukan sukan, tetapi membenarkan meraka bermain kriket di negara ini bermakna secara tak langsung Malaysia mengiktiraf segala keganasan pihak Israel terhadap rakyat Palestin.

Walaupun saudara ini seorang pelajar Malaysia yang belajar di UK, saya merasa amat terkilan apabila saudara mengeluarkan kenyataan yang berbunyi begini "Bercakap atau berdemonstrasi atau menembak orang Yahudi menggunakan batu tidak memberi kesan yang sepatutnya ."

Apa yang beliau maksudkan dengan kata-katanya ini?Apakah menentang kezaliman yang dilakukan oleh sesuatu regim itu salah?Apakah perjuangan yang dilakukan oleh rakyat Palestin untuk membebaskan tanahair mereka itu sia-sia?

Kalau tidak kerana demonstrasi besar-besaran yang dilakukan oleh rakyat Indonesia tidak mungkin diktator kuku besi seperti Suharto dapat ditumbangkan.Jadi saya percaya penindasan itu harus ditentang oleh golongan yang tertindas itu sendiri.

Melawan penindasan dengan menggunakan apa cara sekalipun adalah salah satu cara pembelajaran.

Pembelajaran bukan sahaja hanya boleh didapati di Universiti sahaja. Ilmu terdapat dimana-mana sahaja. Saya ingin beritahu kepada Ahmad Supian yang berasal daripada Port Klang bahawa semulia-mulia perjuangan ialah perjuangan membebaskan minda daripada cengkaman dan kongkongan mana-mana pihak.

Jangan kita nak cakap pasal demokratik kalau kita hanya memahami demokrasi hanya melalui pembuangan undi oleh rakyat setiap lima tahun sekali.