Media memainkan peranan yang amat penting dalam menyebarkan berita-berita terkini selain memberikan pendidikan kepada rakyat melalui perbahasan-perbahasan yang disiarkan melalui media tersebut.

Media yang bebas dan telus akan memainkan peranan dalam melahirkan masyarakat yang lebih baik dan lebih progressif dalam mengharungi kehidupan yang semakin mencabar ini.

Saya amat tertarik dengan surat pembaca yang dikarang oleh Rafsanjani Hashim (Definasi kebebasan akhbar, Dis 12) mengenai kebebasan akhbar. Beliau dalam suratnya menyatakan kekesalan beliau setelah membaca tulisan Zakiah Koya dan Fathi Aris Omar yang mempertikaikan kebebasan akhbar arus perdana.

Pada pandangan saya sebagai pembaca akhbar arus perdana saya amat bersetuju dengan pandangan Zakiah Koya ataupun Fathi Aris Omar kalau mereka mengutuk profesionalisme wartawan-wartawan akhbar arus perdana.

Saya berkata begitu bukanlah kerana saya ini ahli parti pembangkang, saya katakan ini sebagai rakyat Malaysia yang cintakan akhbar-akhbar yang benar-benar berkualiti untuk bacaan bangsa dan rakyat negara ini.

Cuba bayangkan, Perdana Menteri tidak habis-habis berkempen kepada rakyat negara ini tentang wawasan 2020. Bagaimanakah wawasan 2020 hendak tercapai oleh rakyat Malaysia kalau bahan bacaan yang disajikan oleh pemerintah ialah Utusan Malaysia , Berita Harian dan NST .

Sudahlah pemerintah menyediakan bahan bacaan yang sebegitu rupa, pembangkang juga gagal untuk menyediakan bahan bacaan untuk rakyat sebagai media alternatif. Ternyata Harakah , Roket dan Berita Keadilan gagal untuk dijadikan contoh akhbar yang bebas.

Tetapi kalaulah benar seperti apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir bahawa Malaysia ini mengamalkan demokrasi, tidak mungkin akhbar-akhbar yang menjadi lidah rasmi parti pembangkang menghadapi masalah dengan KDN.

Saya rasa saudara Rafsanjani perlu terima hakikat bahawa beliau dan rakan-rakan wartawannya yang bekerja di media arus perdana selagi mereka tidak melakukan sesuatu perubahan dalam diri mereka tidak harus kecewa dengan kritikan dan teguran daripada sesiapa.

Tidak perlu tunggu Pak Samad Ismail untuk menegur keprofesionalismaan mereka. Kalau masih lagi terus begini jangan terkejut kalau saudara dan saudari akan ditegur dan dikritik oleh pelajar sekolah rendah satu hari nanti kerana berita-berita yang tidak berkualiti yang disiarkan oleh akbar arus perdana.