Saya turut bersimpati jika Anti Demonstrasi terperangkap dalam kesesakan di HKL atau kawasan berhampiran Kg Baru, di Kompleks Kerajaan Jalan Duta pada 2 Dis, di Jalan Kebun pada 5 Nov atau di jalan-jalan berhampiran Taman Melewar, Gombak pada setiap kali ada ceramah umum oleh parti pembangkang. ([#1]Penyokong BA hempas 'botol susu'[/#], 11 Dis)

Jika saya terlibat dalam keadaan demikian, saya pun akan berasa marah tetapi tidaklah sampai ke tahap memperkecilkan perjuangan dan kebangkitan rakyat.

Isu Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah pemangkin yang mempercepatkan kebangkitan rakyat yang sudah muak dengan tindak-tanduk pemimpin tertinggi negara seperti penglibatan dalam korupsi, kronisme dan nepotisme, penjajahan ke atas badan kehakiman, kedaulatan Raja Berperlembagaan, institusi polis, SPR, majlis agama Islam negeri, Petronas dan bermacam-macam lagi.

Anwar bukan mementingkan diri sendiri kerana kalau itulah yang dipilih sudah tentu beliau berundur secara diam-diam seperti timbalan perdana menteri yang terdahulu atau dengan alasan-alasan biasa bagi seorang politikus iaitu ingin meluangkan lebih masa kepada keluarga, atau sebab-sebab kesihatan. Tapi beliau memilih untuk mempertahankan hak dan sanggup mengorbankan diri untuk itu.

Di manakah penulis ketika Anwar dipecat atas tuduhan liwat? Di manakah penulis ketika Anwar dimalukan di khalayak ramai dengan tuduhan-tuduhan yang tidak pernah dibuktikan sampai sekarang kerana orang yang mempunyai segala mklumat berkenaan dengan tingkahlaku tidak bermoral Anwar kecut untuk hadir ke mahkamah?

Di manakah suara penulis ketika Anwar dipukul hingga hampir mengakibatkan maut di dalam kawalan Polis DiRaja Malaysia , diracuni arsenik ketika dalam tahanan, diadili dalam mahkamah kangaru yang berhakimkan watak kartun gula-gula Hacks, kemudian oleh hakim yang sama waktu dengannya?

Di manakah penulis ketika Tun Salleh Abas dilucutkan jawatan Ketua Hakim Negara, skandal BMF, pembunuhan di Memali, pengharaman Umno, pendedahan skandal bekas Mentri Besar Melaka yang mengakibatkan seorang ahli Parlimen hilang kedudukan, pendedahan penyelewengan Perwaja, pembahagian saham-saham di Miti, kenyataan bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, dan yang terkini pencabulan oleh pihak ketiga yang tidak ada kena-mengena dengan perjanjian antara Petronas dan Kerajaan Negeri Terengganu?

Saya tidak pernah ketemu tulisan penulis supaya menghentikan kezaliman dan kemusnahan yang dilakukan terhadap rakyat dan bumi Malaysia.

Saya tidak dengar keluhan penulis bila makcik-makcik dipukul dan diseret oleh FRU dalam beberapa kejadian di sekitar Kuala Lumpur, seorang pakcik dikhuatiri hilang deria penglihatan akibat terus-menerus disemburkan gas pemedih mata dalam ruang yang tertutup bersama puluhan orang lagi mangsa, seorang perempuan dibogelkan dan dipaksa ketuk ketampi di hadapan tahanan lain dan macam-macam lagi yang penulis mungkin ketinggalan.

Maka penulis tidak berhak untuk memperkatakan apa-apa atau menghukum pejuang keadilan yang sedang membakar diri untuk kesejahteraan umat Malaysia kerana penulislah sebenarnya yang mementingkan diri sendiri, menjaga tembolok sendiri biarpun dunia sudah tahu betapa parahnya kudis yang menimpa Malaysia disebabkan oleh seorang pemimpin yang juga seperti penulis kerana sudah tidak berpijak di bumi nyata.