Saya sebagai seorang ahli Umno yang sekarang ini menetap di luar negara ingin merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad agar dapat mengampunkan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada meneruskan hukuman penjara di atas sebab peri kemanusian.

Lupakan sahaja apa yang telah berlaku di masa yang lalu. Manusia tidak dapat lari daripada membuat kesilapan. Berilah peluang kepada Anwar untuk berehat bersama keluarga yang di kasihi dan agar beliau dapat sembuh dengan secepat mungkin.

Mahathir akan disanjung sebagai wira pemimpin Islam sekiranya beliau dapat melupakan perkara yang lepas dan kembali bersatu semula demi untuk perpaduan dan kekuatan agama, bangsa dan negara kita yang dicintai.

Saya mempunyai kepercayaan yang tinggi bahawa Mahathir akan mengampunkan Anwar di masa yang singkat ini kerana Mahathir seorang pemimpin yang mahu melihat umatnya berjaya dan dapat bersaing bersama bangsa dan warganegara asing.

Sejarah telah terbukti bahawa Mahathir telah pun bersama dan berkawan rapat dengan Tan Sri Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Harun Idris dan beberapa pemimpin-pemimpin lain yang pernah mengkritik beliau dengan hebat dan tidak sehaluan dengannya.