Kad pengenalan mudah diperolehi
Merujuk surat Atan Long, [#1]Siasat isu kad pengenalan Malaysia [/#] (2-3 Dis), sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanahairnya, saya amat bersetuju dengan saranan beliau.
Seperti beliau, saya juga amat bimbang dengan fenomena ramai rakyat asing di negara ini, terutama di Sabah, yang memiliki kad pengenalan Malaysia. Cara mereka mendapat kad pengenalan ini begitu mudah kerana tidak perlu melalui proses yang ditetapkan oleh perlembagaan negara.
Saya berkata demikian, kerana ada di antara mereka yang memperolehi kad pengenalan ini dengan hanya datang di sini (Malaysia) dan duduk enam bulan atau satu tahun, kalau kena cara maka dapatlah. Rata-rata mereka ini pula boleh mengundi kerana menjadi ahli kepada satu-satu parti. Sebagai pemilik kadi pengenalan Malaysia, maka layaklah mereka menikmati apa jua kemudahan yang diberikan oleh kerajaan, dan rakyat asal terpaksa bersaing dengan mereka.
Apa yang amat menyedihkan, ada di kalangan mereka ini pula masih lagi menjadi warganegara yang sah di negara asal mereka. Contohnya, ada yang balik ke Filipina dan memiliki dokumen Filipina dan begitu juga yang dari Indonesia. Betapa untungnya mereka, kerana memiliki dua kewarganegaraan.
Mengikut pengamatan saya (di Sabah), kewujudan golongan ini memang disedari oleh pihak-pihak tertentu tetapi semua ini dinafikan oleh kepentingan politik.
Andainya perkara ini dibiarkan berterusan, akhirnya yang akan menerima padah ialah rakyat asal tempatan. Oleh itu, saya amat menyokong dan bersetuju dengan saranan penulis agar pihak berkenaan seperti Badan Pencegah Rasuah dan Jabatan Pendaftaran Negara dapatlah menjengok-jengok perkara ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.