Merujuk kepada surat Khairul Nizam Khalid, saya merasa terpanggil untuk turut sama menyatakan kerisauan dan kegusaran saya tentang apa yang sedang dirancang dengan licik oleh pemerintah Barisan Nasional di bawah tunggangan Dr Mahathir Mohamad untuk mengekalkan kekuasaannya yang semakin terhakis. ([#1] BA, padamkan api perkauman[/#] , 20 Dis)

Dan isu 83 rayuan Suqiu dan 100 tuntutan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang ditiup oleh akhbar arus perdana terutamanya Utusan Malaysia untuk mengapi-ngapikan sentimen dan emosi rakyat adalah isu yang bersifat perkauman dan provokatif. Isu sebegini jika tidak ditangani segera boleh mendatangkan keributan kaum yang serius.

Justeru itu, saya amat hairan apabila isu 83 rayuan Suqiu ini yang dulunya telah disepakati dan diterima secara konsensus oleh keempat-empat parti pembangkang yang berada di dalam Barisan Alternatif, kini menjadi sesuatu yang tidak dapat disepakati pula secara bersama.

Tidak ada usaha yang tangkas, segera dan serius dari pimpinan tertinggi parti-parti yang tergabung di dalam BA untuk duduk semeja menjelaskan posisi BA mengenai isu yang cuba diapi-apikan oleh BN ini.

Setakat ini hanya dua pemimpin tertinggi BA iaitu Lim Kit Siang (DAP) dan Dr Syed Husin Ali (PRM) yang telah mengeluarkan kenyataan masing-masing. Bagaimana pula dengan posisi Keadilan dan PAS berhubung dengan isu ini.

Yang lebih memeningkan kepala ialah apabila Wan Azizah, Presiden Parti Keadilan mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan kesepakatan yang telah dibuat oleh BA sebelum pilihanraya umum 1999 yang secara kolektif telah bersetuju untuk menerima 83 rayuan Suqui ini.

Dan di dalam kecelaruan pendirian pimpinan BA di dalam menangani isu 83 rayuan Suqui ini, Ustaz Fadzil Noor selaku Presiden PAS masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan. Adakah kerana konstituensi PAS yang terdiri daripada massa Melayu, maka PAS mengambil sikap berdiam diri serta tunggu dan lihat?

Rakyat yang menyokong BA bukan mahukan percanggahan pendirian. Mereka juga bukannya mahukan kenyataan pemimpin BA yang dibuat secara bersendirian dan berasingan seolah-olah BA itu sudah terpecah dan tidak wujud lagi. Apa yang mereka mahukan ialah kebersamaan, kesepakatan dan konsensus yang satu di dalam menyatakan pendirian BA berhubung dengan isu Suqiu ini.

Justeru itu, apa yang sepatutnya dilakukan oleh pemimpin BA sebaik sahaja isu Suqiu ini ditimbulkan kembali oleh Dr Mahathir pada sidang Dewan Rakyat yang lepas, ialah dengan duduk semeja dan membuat kesepakatan mengeluarkan hanya satu (bukan dua, tiga atau empat) kenyataan bersama BA.

Namun sepertimana yang dapat kita saksikan, sehingga ke hari ini, sehingga sudah lebih seminggu Utusan Malaysia memain-mainkan isu 83 rayuan Suqui dan 100 tuntutan GPMS ini, kita masih belum melihat konsensus dan kesepaduan kolektif daripada pemimpin BA.

Ketika para penyokong BA memerlukan pendirian yang tegas dan teguh daripada BA sebagai gabungan parti pembangkang yang punya pendirian yang satu dan sehaluan dalam memposisikan kesepakatan mereka, nampaknya BA kelihatan seperti lembik, tunggang-langgang dan sekaligus menghampakan aspirasi penyokong BA sendiri yang mahukan BA bertindak cepat dalam memadamkan api perkauman yang cuba dinyalakan oleh BN.

Jika beginilah caranya BA menangani isu Suqui ini, tidak mustahil jika BA akhirnya akan sudah terhantuk baru terngadah, sudah basah baru berpayung, sudah terbakar baru menyesal!